Tan Sri SA Vigneswaran

KUALA LUMPUR – Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua yang menyambutnya.

Kata Vigneswaran yang juga Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan, beliau teruja melihat bagaimana rakyat Malaysia berbilang bangsa dan kaum sama-sama meraikan pelbagai keraian dalam suasana saling memahami dan perasaan hormat-menghormati antara kaum.

“Seperti semua sedia maklum, tahun ini adalah Tahun Harimau dan haiwan ini yang terkenal dengan ciri-ciri bertenaga, kekuatan dan keberanian diharapkan membawa kemuliaan, kecergasan dan keazaman di sepanjang tahun 2022.

“Saya berharap kita dapat meraikan Tahun Baru Cina dalam suasana saling faham-memahami, perasaan hormat-menghormati antara kaum dapat terus dipupuk dan dijadikan sebagai tradisi masyarakat Malaysia yang dapat dibanggakan oleh semua,” katanya.

Kata Vigneswaran, kesanggupan masyarakat berbilang kaum di hidup di bawah satu bumbung untuk meraikan kepelbagaian perayaan juga memberi kekuataan kepada rakyat di negara ini untuk terus maju dan berdaya saing.

“Ingatlah sewaktu kita mencapai kemerdekaan dahulu, dunia tidak yakin sama sekali bahawa kita akan dapat mengelak dari ketegangan hubungan antara kaum, jauh sekali membangunkan Negara kita.

“Tetapi melalui perpaduan antara kaum yang dipelihara dengan baik, kesejahteraan dan pembangunan pesat dapat dilaksanakan. Hakikatnya perpaduan adalah tunjang utama paling bernilai kepada kita kerana ianya adalah teras keharmonian dan kesejahteraan sesebuah negara.

“Saya berharap perayaan tahun ini membawa kebahagiaan dan keberuntungan kepada seluruh rakyat Malaysia dalam usaha kita mengatasi ketidaktentuan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik Covid-19. Selamat menyambut Tahun Baru Cina dan Gong Xi Fa Cai kepada semua,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast