covid-19
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 3,968 kes sembuh Covid-19 setakat jam 12 tengah hari ini dengan jumlah kumulatifnya mencatatkan 2,794,354 kes.

Dalam satu kenyataan sebentar tadi, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes jangkitan baharu hari ini pula sebanyak 5,720 dengan kumulatifnya sebanyak 2,887,780.

“Sebanyak 114 kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 85 telah disahkan Covid-19 manakala 29 kes disyaki kemungkinan dan masih dalam siasatan.

“Kes memerlukan bantuan pernafasan sebanyak 56 kes dengan 39 telah disahkan Covid-19 manakala 17 kes disyaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham mendedahkan, sebanyak 43 kes adalah dalam kategori 3,4 dan 5 manakala 5,690 pula terdiri kategori 1 dan 2.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, kes import yang dilaporkan sebanyak 183 kes manakala kes tempatan pula sebanyak 5,677 kes.

Jumlah kluster yang dilaporkan pada hari ini ialah 6,457 kluster dengan 15 daripadanya adalah kluster baharu, kluster tamat pula sebanyak 6,125 dan jumlah kluster aktif sebanyak 332 kes.

“KKM ingin menasihati orang ramai agar terus mematuhi saranan serta nasihat kesihatan termasuklah elak 3S (elak kawasan sesak, sempit dan sembang dengan jarak dekat), amalkan 3W (amalkan wash, wear dan warm), amalkan TRISS (trace, report, isolate, inform and seek).

“Dapatkan vaksin Covid-19 bagi kurangkan jangkitan yang serius dan bilangan kes kematian,” ujarnya. -MalaysiaGazette