Nasrul Ali Hasan

KUALA LUMPUR – Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanhaya Pilihan Raya (SPR) diminta supaya mempertimbangkan SOP dengan memberi ruang serta saluran kepada parti bukan kerajaan berkempen sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Antara pertimbangan itu ialah melonggarkan SOP bagi parti berkempen secara bersemuka, membenarkan diadakan ceramah dengan kapasiti lebih sesuai dan tidak berat sebelah.

Menurut Ketua Pergerakan Wira Putra Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, keputusan SOP yang bakal dikeluarkan nanti perlu mengimbangi kemelut kesihatan dan keselamatan sebagai sat keutamaan ketika berkempen.

“Kita tidak mahu kerajaan mengambil kesempatan seperti mana di PRN Melaka November lalu dengan mengetatkan SOP sehingga menyukarkan parti bukan kerajaan memperkenalkan calon kepada pengundi.

“Bagaimana rakyat dapat melalui proses pilihan raya yang adil, sedangkan demokrasi mati di bawah kerajaan sekarang?,” ujarnya menerusi kenyataan kepada media, hari ini.

Justeru, Nasrul Ali Hasan menggesa kerajaan, SPR dan MKN jangan matikan kewajiban tuntutan demokrasi bagi memberi ruang dan saluran kepada parti bukan kerajaan berkempen.

Beliau mengingatkan kerajaan, keperluan berlakunya PRN Johor adalah kehendak kumpulan dari parti kerajaan juga.

“Maka, kerajaan perlu adil memberi ruang kepada parti baharu termasuk Putra untuk turun berkempen membantu calon yang bakal bertanding. Jangan guna alasan Covid-19 untuk SOP PRN,” katanya. – MalaysiaGazette