Azlee Khairi bernikah dengan kru penerbangan dikenali dengan nama Nurul Hidayah atau Dhiya pada Januari tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Selepas setahun bernikah, aktor, Azlee Khairi akhirnya mengesahkan yang dia sudah berkahwin buat kali kedua.

Pelakon yang pernah meledak menerusi drama Love You Mr Arrogant pada 2013 bernikah pada Januari 2021 dengan kru penerbangan dikenali dengan nama Nurul Hidayah atau Dhiya.

Azlee sebelum ini pernah berkahwin ketika namanya berada di puncak populariti dengan wanita dari Brunei sekitar tahun 2014.

Ketika itu dia memilih menetap di sana dan tidak lagi aktif berlakon.

Bagaimanapun sekitar November 2019, Azlee kembali ke Malaysia dan berlakon semula.

Pada 2020, dia turut mengesahkan yang dirinya bukan lagi suami orang.

“Ya, saya sudah bernikah buat kali kedua. Ini juga perkahwinan kedua buat isteri dan memiliki dua anak. Cuma saya tak boleh berkongsi butiran tepat mengenai isteri kerana dia tidak gemar akan hal itu.

“Alhamdulilah perkongsian hidup kami kini turut dikurniakan anak lelaki berusia lima bulan.

“Majlis nikah kami pun secara atas talian secara sederhana dan dibuat membabitkan ahli keluarga serta sanak saudara masing masing,” katanya.

Terdahulu, entri perkongsian gambar sambutan hari lahirnya yang ke 33 tahun dimuat naik di Instagram baru-baru ini turut mengundang pelbagai spekulasi.

“Saya rasa ini waktu yang terbaik untuk menjelaskan perkara sebenar. Lagipun saya jenis yang tak suka menggembar gemburkan hal peribadi.

“Cuma ada yang yang netizen salah faham dan mengandaikan saya sudah ada dua anak. Salah seorang itu, anak tiri saya sebenarnya,” katanya.

Azlee atau nama sebenarnya Azlee Khairi Zulah Hainee berkata, dia dan isteri sepatutnya mengadakan majlis persandingan pada Mac tahun lalu.

Bagaimanapun kerana situasi semasa Covid-19, perancangan itu tergendala.

“Selepas setahun juga, majlis yang ditunda itu akan diadakan pada 18 Mac depan di sebuah lokasi di ibu kota.

“Masa itu, saya akan berkongsi juga gambar pernikahan kami. Saya kena hormat permintaan keluarga masing masing,” katanya.

Majlis persandingan Azlee dan isterinya yang ditunda sebelum ini kerana Covid-19 akan diadakan pada 18 Mac depan.

Ditanya mengenai kisah perkahwinannya yang terdahulu dan kedua kelihatan penuh misteri dan rahsia, Azlee percaya semua yang terjadi sesuatu yang tidak terduga.

“Saya percaya soal kahwin ini paling penting keluarga tahu sudah memadai. Selepas itu, apa juga percaturan atau kesudahannya kita ikut rentak saja. Saya just go with the flow.

“Seperti mana manusia dan lelaki lain yang mendambakan kebahagiaan, saya tidak terkecuali. Cuma ada kalanya apa yang kita harap dan impikan tidak berakhir dengan kemanisan.

“Macam perkahwinan pertama saya yang tidak kekal. Sebelum berjumpa isteri pun saya ada kenal dan bercinta dengan orang lain. Tapi putus di tengah jalan. Ia proses kehidupan yang semua kena lalui.

“Apa pun, saya harap ikatan perkahwinan kali ini akan dirahmati dan kekal sampai bila bila,” kata pelakon drama Hari Kita Jatuh Cinta ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast