MELAKA – Seorang bayi perempuan dipercayai baru lahir ditemui masih hidup dan mempunyai kesan darah serta masih bertali pusat di hadapan sebuah restoran di Taman Mutiara, Batu Berendam di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan bayi tersebut daripada orang awam pada pukul 7 pagi tadi.
Namun setakat ini, menurutnya, bangsa bayi yang cukup sifat itu belum dikenal pasti.
“Bayi perempuan itu ditemui seorang wanita berusia 51 tahun ketika dia sedang mengutip tin berhampiran kawasan terbabit.
“Dia kemudian terdengar suara tangisan sebelum menjumpai bayi yang masih berdarah dan bertali pusat itu di dalam bakul pakaian kotor yang diletakkan di tepi tembok batu berhadapan restoran berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan itu, katanya, wanita terbabit terus bergegas ke sebuah klinik berhampiran bagi mendapatkan bantuan menghubungi polis dan ambulans.
“Pihak polis yang tiba di tempat kejadian kemudian meminta bantuan ambulans untuk membawa bayi terbabit ke Hospital Melaka bagi rawatan lanjut.
“Tiada sebarang nota ditinggalkan bersama bayi terbabit yang tidak berpakaian dan hanya beralaskan kain batik di dalam bakul pakaian kotor itu,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.
Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.- MalaysiaGazette