Dr. Jamaie Hamil.-Foto HAZROL ZAINAL.

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor menjadi medan kepada pihak berkepentingan untuk melihat trend sokongan pengundi berusia 18 tahun hingga 20 tahun yang buat pertama kali diberikan peluang untuk mengundi.

Dianggarkan lebih 700,000 pengundi baharu bakal membuat pilihan pada PRN Johor dan lebih lima juta lagi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) selepas Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan oleh Parlimen pada 2019.

Kehadiran pengundi baharu terutama lepasan pelajar sekolah menengah dan yang sedang menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dan diploma pastinya mendatangkan debaran terutama kepada parti-parti politik yang bertanding tambahan golongan ini dimomokkan sebagai tidak matang dan mudah terpengaruh.

Undi 18 strategi politik parti pembangkang

Undi 18 pada asalnya merupakan perjuangan yang dibawa oleh  PKR, DAP dan Pas yang menjadi parti pembangkang sebelum PRU-14.

Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Jamaie Hamil berkata, desakan Undi 18 tidak mendapat respon parti yang memerintah iaitu Barisan Nasional (BN) ketika itu.

Kumpulan berusia 18 tahun dan 19 tahun ini dilihat masih lagi tidak matang dalam membuat penilaian terhadap politik, kata Dr. Jamaie.-Foto HAZROL ZAINAL.

Namun selepas PRU-14 dan Pakatan Harapan (PH) dipilih rakyat untuk mentadbir negara, Undi 18 kemudiannya turut diperjuangkan oleh BN.

“Itu yang terjadi, dirasakan Undi 18 ini sebenarnya adalah satu strategi parti-parti politik yang menjadi pembangkang. Kerana UMNO, BN jadi pembangkang mereka hendak sangat Undi 18 itu dibenarkan.

“Sebab apa? Bila dibenarkan, anak-anak muda ini mudah dipengaruhi, walaupun mereka dikatakan terbuka dengan internet dan sebagainya tetapi kelebihan dan peluang yang diberikan oleh internet itulah yang akan digunakan oleh pembangkang untuk memburuk-burukkan kerajaan.

“Kerajaan mana? Maksudnya kerajaan yang memerintah. Dulu Pakatan Harapan lepas itu Perikatan Nasional. Anak-anak muda ini mudah dipengaruhi dan anak-anak muda ini sifatnya anti establishment (anti pemerintah),” kata Dr. Jamaie.

Tambah beliau, golongan muda sememangnya akan bersikap kritikal terhadap kerajaan yang memerintah dan jika peluang mengundi diberikan, golongan ini akan memilih parti pembangkang.

“Ini yang berlaku terhadap PH. Apabila PTPTN tidak dimansuhkan mereka tumbangkan PH dalam PRK Semenyih dan Tanjung Piai. Di Tanjung Piai, Bersatu menang majoriti 3,000 (PRU-14) tapi BN  kemudian menang pula dalam pilihan raya kecil dengan undi 25,000.

“Apa maknanya ini? Maknanya ialah kerana mereka protes, tidak dapat apa yang mereka hendak lalu mereka hukum parti yang berjanji,” kata Dr. Jamaie.

Gelagat pengundi terakhir untuk membuang undi sebelum tamat waktu mengundi pada hari pengundian sempena hari Pilihan Raya Kecil (PRK) Melaka, di SK Bukit China, Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ 20 NOVEMBER 2021.

Tidak matang

Kumpulan berusia 18 tahun dan 19 tahun ini dilihat masih lagi tidak matang dalam membuat penilaian terhadap politik kerana kebanyakan mereka belum lagi tidak bersifat terbuka.

Golongan ini, menurut Dr. Jamaie mungkin akan terpengaruh dengan kawan-kawan dan isu yang dimainkan oleh parti-parti politik.

“Maka dengan demikian undi mereka hanya semata-mata sebagai protes, barang kali terikut-ikut. Jadi nak dikatakan matang, tidak matanglah pada usia itu untuk mengundi.

“Dan ini akan memberi kesan cukup besar kepada politik negara kerana kuasa yang dapat itu bukan daripada betul-betul kefahaman untuk memilih parti mana yang hendak memerintah.

“Jadi kerana terikut-ikut mereka akan membuat pilihan yang barangkali salah, barangkali mendatangkan mudarat kepada kerajaan ataupun pemerintah yang diberikan kuasa,” kata Dr. Jamaie yang ditemui baru-baru ini.

Tambahnya, hanya kumpulan yang terlibat dengan badan bukan kerajaan dan mempunyai keluarga yang aktif politik mendapat gambaran sebenar isu yang berlaku dalam politik negara seperti isu rasuah, penyalahgunaan kuasa dan cantas mencantas dalam politik.

Antara anak muda yang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.Foto SYAFIQ AMBAK, 20 NOVEMBER 2021.

BN akan menang besar di Johor, PRU-15

Dr. Jamaie meramalkan Barisan Nasional akan menang besar pada PRN Johor dan PRU-15 dengan bantuan Undi 18 disebabkan faktor kerajaan yang memerintah iaitu gabungan BN dan Perikatan Nasional dilihat sangat tidak stabil.

Katanya, pengundi ketika ini mahukan sebuah kerajaan yang kuat yang membolehkan mereka mempunyai pekerjaan, boleh berniaga dan tidak mahu dasar yang berubah-ubah hingga menyukarkan kehidupan. Kerana faktor itu Barisan Nasional telah mendapat kemenangan besar dalam PRN Melaka.

“Saya dapati di Johor juga, BN akan menang besar. Kalau mereka (parti lawan BN) nak berikan saingan bolehlah, tapi kalau nak menang dalam PRN Johor, PRU-15 tidak ada peluang.

“Isu-isu yang dimainkan tidak mendapat perhatian (pengundi), isu rasuah tak jalan di Melaka, isu kepimpinan yang berlaga dalam UMNO tidak jalan. Lepas itu isu ketua menteri wanita, dicalonkan perempuan pun tak jalan,” katanya sambil menambah isu-isu itu juga tidak akan mendapat perhatian dalam PRN Johor.

Justeru menurut beliau, pada waktu ini, BN merupakan parti yang paling mendapat manfaat pelaksanaan Undi 18 kerana BN tidak dilihat sebagai kerajaan yang memerintah sebaliknya lebih menonjol sebagai pembangkang dalam kerajaan.

Temubual bersama Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Jamaie Hamil mengenai Undi 18 di Nilai, Negeri Sembilan. Foto HAZROL ZAINAL, 26 JANUARI 2022.

Jangka panjang Undi 18 beri manfaat kepada pembangkang

Nanum Dr. Jamaie berkata, kesan jangka panjang akan memperlihatkan mana-mana parti yang menjadi kerajaan akan ditolak oleh pengundi muda.

“Parti pembangkang sekarang ini, kita nampak lebih kepada UMNO, BN sebab itulah mereka bersungguh-sungguh hendak laksana Undi 18.

“Tetapi saya nampak kesan jangka panjang mana-mana parti yang jadi kerajaan akan ditolak oleh anak-anak muda ini.

“Sekarang ini mereka (BN/UMNO) mengalahkan kerajaan PN di bawah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, BN (akan) menang dalam PRU-15 tetapi dalam PRU-16 nanti mungkin mereka akan menerima nasib yang samalah kerana tidak matangnya Undi 18 ini,” kata Dr. Jamaie.

Tambahnya untuk kekal menjadi tarikan kepada pengundi muda, parti-parti terbabit perlu sentiasa melakukan pembaharuan dan perubahan secara dalaman dan mengetengahkan idea-idea baru.

Artikel ini adalah bahagian pertama daripada empat siri rencana berkaitan Undi 18.- MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast