Rais Yasin

MELAKA – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bersedia untuk menutup sesi persekolahan di negeri ini berdasarkan penilaian risiko jangkitan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) susulan penularan kes positif Covid-19 di 10 buah sekolah berasrama di Melaka.

Exco Pendidikan dan Teknologi Melaka, Datuk Rais Yasin bagaimanapun berkata, langkah awal yang diambil oleh kedua-dua pihak sehingga berjaya mengawal kes jangkitan di sekolah-sekolah.

Menurut beliau, arahan penutupan sekolah bergantung kepada penilaian risiko yang dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah secara khusus terhadap mana-mana sekolah yang wujud penularan Covid-19.

“Sehingga terkini terdapat lebih kurang 309 pelajar yang telah dikuarantin manakala 86 pelajar telah selesai menjalani tempoh kuarantin.

“Namun, pihak JPN sentiasa bersedia dengan sebarang arahan dan saranan yang berkemungkinan diberikan oleh JKN berhubung penutupan sesi persekolahan secara bersemuka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 31 Januari lalu, MalaysiaGazette melaporkan sesi persekolahan di negeri ini mungkin terpaksa ditangguhkan jika kluster pendidikan negeri yang ketika itu merekodkan seramai 671 guru dan pelajar positif Covid-19 semakin bertambah.

Pengarah Kesihatan Melaka, Dr Rusdi Abd Rahman dilaporkan berkata, kewujudkan sembilan kluster baharu mendorong JKN melihat ada keperluan untuk menutup sekolah jika situasi kes sukar dikawal.

JKNM, katanya, akan mencadangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk memikirkan satu kaedah lain mengawal penularan kluster berkenaan selain penguatkuasaan terhadap prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Mengulas lanjut mengenai pelajar yang positif, Rais berkata, terdapat penangguhan peperiksaan bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang masih menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau di rumah atau asrama sehingga 8 Februari ini,

“Mereka akan menduduki peperiksaan lisan Bahasa Melayu pada sidang kedua pada bulan April 2022, yang mana tarikhnya akan ditentukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia kelak.

“Saya bersama jabatan dan agensi yang terlibat akan sentiasa melipat-gandakan usaha bagi membanteras wabak ini,” katanya.

Tambahnya, ibu bapa juga diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan akan meningkatkan lagi langkah penjagaan dalam kalangan pelajar khusus berasrama di sekolah.- MalaysiaGazette