Peserta yang hadir secara bersemuka melafaz ikrar pada Forum Santai Cinta Watan di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 600 perwakilan wanita seluruh negara menyertai Forum Santai Cinta Watan dengan tema Pemerkasaan Peranan Wanita: Membangkitkan Jiwa Bangsa, Keluarga, Komuniti, Masyarakat, Kepimpinan serta Negara Berpaksi Watan, semalam.

Forum secara maya itu anjuran bersama Bangkit Dengan Cinta (BDC) dan Satria Cinta (SC) yang membangkitkan kesedaran jati diri.

Forum tiga jam itu juga untuk peserta menghayati dasar utama pembinaan jiwa, dakwah dan siasah watan dalam mengembalikan kegemilangan peradaban bangsa melalui wanita sebagai tonggak dalam komuniti dan kekeluargaan.

Cinta Watan (CW) yang merupakan cetusan Ibrahim Al-Malik diilhamkan melalui perlambangan darah tiga nabi yang mengalir dalam bangsa itu iaitu Nabi Ibrahim A.S (ketauhidan dan makrifat), Nabi Muhammad S.A.W (akhlak dan cinta) serta Nabi Sulaiman A.S (kekuatan, kekayaan dan kekuasaan) sebagai simbolik membentuk kalimah EMAS dalam tulisan jawi.

Menurut Sekretariat CW, bangsa dan negara kini amat perlukan pada doktor yang merawat jiwa dan adab lebih daripada penyakit lain.

Ibrahim Al-Malik

Katanya, jika jiwa lemah dan adab rosak, maka hancurlah agama, bangsa dan negara.

“Kepimpinan yang baik datang dari masyarakat yang baik dan berilmu. Justeru, peranan wanita diperkasa dan disepadukan melalui formula EMAS sebagai madrasah pertama generasi anak-anak untuk memiliki pengetahuan mengenai kepimpinan watan.

“Seruan Cinta Watan mengambil prinsip tokoh terdahulu sebagai rujukan seperti dakwah berlandaskan prinsip Wali Songo yang bersifat damai, kasih sayang, fleksibel dan menepati adat setempat,” kata Sekretariat CW.

Manakala Sekretariat Srikandi Watan pula akan menerajui pelaksanaan gerak cinta watan dengan kerjasama NGO, pihak swasta dan masyarakat menerusi pelbagai program dan inisiatif rundingan. – MalaysiaGazette