PICKids children Covid-19 vaccination vaccine
A child receiving his Covid-19 vaccine in conjunction with the National Covid-19 Immunisation Programme for Children (PICKids) at the vaccination centre.

GEORGE TOWN – Pemberian vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) di negeri ini akan bermula esok.

Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Norlela Ariffin berkata, proses vaksinasi itu akan dilaksanakan di dua pusat pemberian vaksin (PPV) iaitu di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya.

Jelas beliau, vaksinasi itu untuk kanak-kanak yang mempunyai komorbid atau tergolong dalam kalangan yang berisiko tinggi.

“Populasi kanak-kanak dalam lingkungan usia lima hingga 11 tahun di Pulau Pinang adalah kira-kira 160,000 orang.

“Setakat ini, dua hospital itu saja terlibat dalam melaksanakan proses vaksinasi terhadap kanak-kanak yang mempunyai penyakit dan berisiko tinggi.

“Bagi kanak-kanak yang tiada penyakit, mereka akan disuntik sama ada di klinik kesihatan atau sekolah,” katanya menerusi mesej di aplikasi WhatsApp hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, selepas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja bawah 18 tahun sejak 8 September lalu kini ia diperluaskan kepada kanak-kanak bawah 12 tahun. – MalaysiaGazette