KUALA LUMPUR – Pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Mara Corp akan memberikan kerjasama dan menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan salah guna kuasa dan penyelewangan pegawainya.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi Mara, Datuk Seri Azizah Mohd. Dun berkata, pihaknya telah menerima baik kunjungan pasukan pegawai SPRM dari Putrajaya hari ini bagi memulakan siasatan berkaitan dakwaan isu integriti.
“Mara sentiasa komited dalam memastikan integriti organisasi ini terpelihara dan tidak sesekali berkompromi dengan sebarang salah guna kuasa dan penyelewengan yang melibatkan kepentingan awam,” katanya.
Beliau mengulas tindakan SPRM mula menjalankan siasatan terhadap Mara setelah menerima aduan berhubung dakwaan wujudnya isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Mara yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi tersebut.
MalaysiaGazette melaporkan serbuan SPRM di tiga lokasi berasingan di pejabat Mara Corp di Tingkat 20 Hotel Primera, dua lokasi lain secara serentak hari ini termasuk di Jalan Mara dan Jalan Bukit Bintang.
Difahamkan para pegawai SPRM telah tiba sekitar jam 10.30 pagi dan hanya beredar selepas beberapa jam, lokasi terakhir di Mara Corp yang mengambil masa kira-kira lebih lapan jam.
Masing-masing meneliti beberapa dokumen yang dikaitkan dengan dakwaan penyewelengan dan salah guna kuasa dalam kalangan pegawai Mara.
Terdahulu, Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf membuat laporan polis berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam agensi itu.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: