MELAKA – Negara dijangka kekurangan lebih 90 juta bekalan telur sepanjang Ramadan dan Aidilfitri ini sekiranya harga yang ditetapkan kekal sehingga 5 Jun ini
Timbalan Pengerusi Gabungan Persatuan Peladang Ternakan Malaysia (FLFAM) Lee Yoon Yeau, jangkaan itu berdasarkan hampir 1,500 peladang ternakan ayam penelur akan mengalami kemerosotan pengeluaran sebanyak 10 peratus atau tiga juta telur sehari.
“Sepanjang bulan puasa dan Aidilfitri April dan Mei ini, kita jangka 10 peratus atau daripada hampir 30 juta telur ayam yang dikeluarkan sehari akan kurang dari pasaran.
“Pengurangan ini berpunca daripada peningkatan kos sehingga 50 peratus bagi dedak ayam yang diimport menyebabkan harga adalah hampir sama dengan kos pengeluaran,” katanya ketika ditemui pemberita di ladang ayam telur di Masjid Tanah di sini hari ini.
MalaysiaGazette pada 2 Februari lalu melaporkan harga telur ayam di negeri ini dijangka naik 5 sen atau RM1.50 bagi sepapan 30 biji minggu depan atau selepas cuti umum Tahun Baharu Cina.
Beberapa peniaga yang ditemui mendakwa, mereka sudah menerima notis daripada pembekal masing-masing mengenai kemungkinan kenaikan itu susulan kekurangan stok bekalan telur di negeri ini sejak Februari lalu.
Ketika ini kerajaan menetapkan harga maksimum runcit telur ayam semua gred kekal seperti harga kawalan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) semasa iaitu 43 sen sebiji (Gred A), 41 sen (Gred B) dan 39 sen (Gred C) manakala harga di Sabah, Sarawak dan Labuan adalah bergantung kepada kawasan.
Mengulas lanjut, Yoon Yeau berkata, lebih 1,500 ahli FLAM amat memahami langkah kerajaan menjaga kebajikan pengguna di negara ini, namun ia perlulah turut adil kepada peladang ayam penelur yang juga rakyat Malaysia.
“Sebelum ini tiga hari lalu kita dah bincang dengan kerajaan, kos keluarkan telur adalah 36 hingga 40 sen sebiji yang berbeza mengikut kapasiti pembekal.
“Sebab itu kita minta kerajaan menaikkan had siling atau jika tidak kos pengeluarkan akan terjejas sehingga 10 peratus atau tiga juta sehari pada Ramadan dan Aidilfitri ini,”
Pada 31 Januari lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan harga telur ayam semua gred pula kekal seperti harga SHMKM semasa.
Di bawah SHMKM, harga runcit sebiji telur ayam di Semenanjung ialah 44 sen (Gred A), 42 sen (Gred B) dan 40 sen (Gred C) manakala harga di Sabah, Sarawak dan Labuan adalah bergantung kepada kawasan.
Pelaksanaan kedua-dua harga itu berkuatkuasa pada 5 Februari hingga 5 Jun 2022. – MalaysiaGazette