Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid pada Majlis Perasmian Ibu Pejabat JBPM Melaka yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Melaka hari ini.

MELAKA – Lebih 12,500 anggota serta pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara sudah bersiap siaga untuk dikerahkan bagi tujuan memantau dan menyelamat kawasan berisiko kebakaran susulan musim panas yang dijangka bermula Mac ini.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya sentiasa memantau keadaan cuaca berdasarkan maklumat disediakan pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Menurutnya, cuaca panas Mac ini juga dijangka mengakibatkan berlaku berlaku krisis air dan juga kemarau yang berisiko menyebabkan berlakunya jerebu akibat kebakaran hutan.

“Jadi kita telah pun bersiap sedia memandangkan sejak kita memperkasakan kesiapsiagaan dalam pengurusan bencana banjir sebelum ini, kita belum tutup lagi 16 bilik gerakan di peringkat negeri.

“Keseluruhan kita ada 12,500 anggota dan pegawai lapangan telah diletakkan dalam keadaan siap siaga menghadapi kebakaran pada musim kemarau yang dijangka melanda negara pada Mac ini,” katanya.

Beliau ditemui media selepas hadir ke Majlis Perasmian Ibu Pejabat JBPM Melaka yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Naina Merican serta Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan berkata, selain itu semua aset logistik berkaitan seperti pengangkutan, sistem pam dan sumber air turut dipastikan dalam keadaan baik selain dron dan helikopter bagi memantau lokasi yang berlaku kebakaran dari udara.

“Sejak empat unit dron besar digunakan dalam musim banjir sebelum ini, ia telah meminimakan penggunaan dan risiko ke atas anggota malah memudahkan mengesan saiz dan kawasan panas kebakaran.

“Sekiranya ada kawasan-kawasan hotspot yang kita kenal pasti, terutama sekali di Melaka, Selangor, Pahang dan Perak kita akan menggerakkan aset kita pergi ke pengkalan hadapan supaya respon lebih cepat untuk memastikan tidak berlaku jerebu yang teruk,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast