TAMOROT – Beratus-ratus orang berkumpul untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Rayan, budak lelaki yang meninggal dunia selepas terperangkap dalam perigi.
Rayan Awram yang berusia lima tahun jatuh ke dalam perigi di kampung Ighran pada hari Selasa lalu tetapi hanya berjaya ditarik keluar lewat pada hari Sabtu selepas penyelamat menggali sebahagian besar lereng bukit dan terowong ke bahagian bawah telaga.
Kisah Rayan yang terperangkap mendapat perhatian masyarakat seluruh dunia.
Beratus-ratus orang mendaki jalan berbukit dan tidak berturap menuju ke tanah perkuburan di Ighran, berhampiran Chefchaouen di utara Maghribi.
Mereka sanggup menunggu berjam-jam sehingga proses pengebumian Rayan selesai.
“Saya berusia lebih 50 tahun dan tidak pernah melihat seramai ini orang hadir dalam majlis pengebumian. Rayan adalah anak kepada kami semua,” kata seorang penduduk kampung.
Begitu ramai orang yang hadir sehingga mereka tidak dapat masuk ke tanah perkuburan kampung tersebut.
“Kematian Rayan membuktikan solidariti boleh wujud meskipun manusia saling berbeza bahasa dan negara,” kata seorang lagi penduduk kampung.
Keluarga Rayan turut menerima ucapan takziah daripada Raja Mohammed VI, Pope Francis, Presiden Perancis Emmanuel Macron, pemerintah Dubai Sheikh Mohammed Bin Rashid Al Maktoum dan individu-individu terkenal yang lain.
Pemain bola sepak Mesir dan Senegal berdiam diri seminit pada hari Ahad sebelum perlawanan akhir bola sepak Piala Negara-Negara Afrika bermula.
Pasukan penyelamat telah bekerja tanpa henti dengan risiko tanah runtuh dalam usaha mereka untuk menarik keluar kanak-kanak itu hidup-hidup.
“Saya sangat sedih. Kami tidak dapat menyelamatkan kanak-kanak itu.
“Kami menggali sepanjang masa dalam masa lima hari,” kata seorang penggali sukarelawan, Ali Sahraoui, kepada pemberita semasa majlis pengebumian itu. – Reuters (https://www.reuters.com/world/africa/moroccans-say-farewell-boy-who-died-well-son-us-all-2022-02-07/)