Gelagat kanak-kanak yang menerima suntikan vaksin Covid-19 sempena Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak 'PICKids' ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 03 FABRUARI 2022.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pakar Kanak-kanak Hospital Raja Zainab II, Kota Bharu, Dr Nik Khairuddin Nik Yussoff berkata terlalu awal untuk kerajaan membincangkan mengenai program vaksinasi Covid-19 kepada kanak-kanak di bawah lima tahun.

Menurut beliau, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) sepatutnya meneliti keperluan itu dengan melihat kepada trend penularan Covid-19 pada masa depan.

“Terlalu awal untuk kita membincangkan mengenai vaksinasi kepada kanak-kanak bawah lima tahun.

“Ini kerana masih belum ada vaksin yang dibenar dan diluluskan untuk penggunaan di Malaysia malah kebanyakan negara lain,” katanya ketika menjadi seorang ahli panel sesi libat urus bersama media dengan PICKids dan laporan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) oleh Kementerian kesihatan (KKM) hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan media samada keperluan kepada kerajaan untuk melaksanakan program vaksinasi Covid-19 kepada kanak-kanak di bawah lima tahun.

Bermula 3 Februari lalu, KKM melaksanakan program vaksinasi untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) itu kini menerima sejumlah 517,107 kanak-kanak bagi mendapatkan suntikan dos vaksin Covid-19 masing-masing. – MalaysiaGazette