Bumbung Stadium Mini Sungai Ara tercabut akibat angin kencang di Pulau Pinang petang semalam.

GEORGE TOWN – Ribut petir, angin kencang yang berlaku sekitar negeri ini semalam dikatakan berpunca daripada awan kumulonimbus yang membawa ribut petir berskala kecil dan tempatan.

Pejabat Meteorologi Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, keadaan itu dijangka berlaku pada sebelah petang sepanjang minggu ini.

“Pada jam 6 petang semalam, Stesen Meteorologi Butterworth di sini, merekodkan jumlah hujan sebanyak 19.4milimeter (mm).

“Manakala Stesen Meteorologi Pencemaran Udara Prai dan Bayan Lepas masing-masing merekodkan jumlah hujan sebanyak 8.4mm dan 4.8mm pada waktu yang sama.

“Bagaimanapun MET Malaysia akan sentiasa memantau dan mengemaskini amaran cuaca dari semasa ke semasa,” katanya hari ini.

Tambah kenyataan itu, kelajuan angin langkisau pada jam 5.04 petang yang direkodkan di Stesen Butterworth ialah 54 kilometer sejam (km/j) dan 62 km/j di stesen Bayan Lepas pada jam 5:30 petang.

“Manakala Stesen Pencemaran Udara Prai pula, tidak merekodkan apa-apa bacaan angin langkisau.

“Menerusi pemantauan cuaca serta analisa imej radar dan satelit, didapati pembentukan awan aktif mula terbentuk di timur laut bergerak masuk ke negeri di bahagian utara,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Bumbung terbang, pokok tumbang akibat hujan ribut di P.Pinang

MalaysiaGazette semalam melaporkan, hujan lebat serta ribut di beberapa kawasan di negeri ini menyebabkan berlaku kejadian pokok tumbang dan struktur bumbung terbang.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 5 petang itu bagaimanapun, tidak melibatkan sebarang insiden kemalangan jiwa.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata, pihaknya menerima hampir 20 laporan mengenai kejadian pokok tumbang susulan angin kencang dan kerosakan struktur. – MalaysiaGazette