GEORGE TOWN – Hujan lebat serta ribut di beberapa kawasan di negeri ini menyebabkan berlaku kejadian pokok tumbang dan struktur bumbung diterbangkan angin.
Kejadian dilaporkan berlaku sekitar pukul 5 petang itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang insiden kemalangan jiwa.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata, pihaknya menerima hampir 20 laporan mengenai kejadian pokok tumbang susulan angin kencang dan kerosakan struktur.
“Antara lokasi itu ialah di Air Itam, Bayan Baru, Lintang Pangkor, Jalan zainal Abidin, Jalan Sungai Ara dan Jalan Masjid Negeri.
“Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan beberapa agensi berkaitan kini sedang giat melakukan kerja pembersihan dan pemantauan di lokasi terbabit,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Sementara itu, dalam kejadian bumbung terbang di Stadium Mini Sungai Ara, seorang lelaki warga emas mengalami kecederaan di bahagian tangan kirinya akibat ditimpa struktur bumbung tersebut.
Saidin Ali, 68, berkata, kejadian berlaku pukul 5.20 petang ketika dia baharu sahaja tiba di gerai berhampiran untuk minum kopi.
Katanya, ketika itu keadaan awan agak gelap malah dia juga berasa tidak sedap hati sebelum mendapatkan motosikalnya semula.
“Saya hidupkan enjin dan mahu pulang ke rumah namun dengan sekelip mata bumbung itu melayang ke arah saya disertai dengan angin kuat.
“Motosikal saya serta kira-kira empat kereta di situ turut dihempap bumbung berkenaan, mujurlah saya hanya cedera ringan di tangan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Dalam kejadian berasingan, ratusan penunggang motosikal terpaksa memberhentikan kenderaan masing-masing di susur keluar Jambatan Pulau Pinang dari arah pusat bandar di sini susulan hujan dan angin kencang.
Keadaan itu dapat dilihat menerusi dua video tular berdurasi 59 saat dan 31 saat yang dirakamkan pengguna jalan raya ketika melalui jambatan berkenaan.
Menerusi video berkenaan, turut dilihat keadaan laut yang bergelora selain kenderaan bergerak perlahan di atas jambatan berkenaan. – MalaysiaGazette