KUALA LUMPUR – Advance Pact Sdn. Bhd. (APSB) memperkenalkan Pusat Kejuruteraan Klinikal Lanjutan atau Center for Advance Clinical Engineering (ACE) sebagai inisiatif perintis yang melambangkan komitmen syarikat untuk merevolusikan teknologi perubatan dan mengukuhkan keupayaan penjagaan kesihatan di Malaysia.
ACE sebelum ini dikenali sebagai Pusat Kejuruteraan Bioperubatan atau Centre of Biomedical Engineering (CBE) sejak setahun lalu dan kini dijenamakan semula oleh syarikat perunding perkhidmatan dan penjagaan kesihatan itu sempena Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif APSB, Siti Ainol Khabtiah Mohd Jamil berkata, ACE berperanan menjadi platform utama bagi pembangunan dan pengeluaran peranti perubatan dengan visi untuk memajukan inovasi penjagaan kesihatan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekosistem peranti perubatan tempatan.
“ACE komited untuk mewujudkan keupayaan yang diperlukan untuk mereka bentuk, mengeluarkan dan mengesahkan teknologi perubatan canggih yang memenuhi piawaian global.
“ACE juga bermatlamat untuk memacu kemajuan dalam penyelesaian penjagaan kesihatan, memupuk sikap berdikari dan meletakkan negara serta rantau ini sebagai peneraju dalam inovasi perubatan.
“Ia boleh direalisasikan melalui perkongsian strategik, tumpuan pada pembangunan bakat dan komitmen terhadap penyelidikan dan kecemerlangan,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette di IMDEC 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
ACE kini di bawah kendalian Knowledge Division di APSB iaitu Red Rose Technology (RRT).
Mengulas lanjut, Siti Ainol menambah, ACE akan memberi manfaat kepada syarikat untuk membina bakat, selain dapat membangunkan teknologi perubatan yang berkaitan dengan industri peranti perubatan.
Jelas beliau, ACE juga akan dijadikan pusat kecemerlangan yang menempatkan satu ekosistem menyeluruh berserta bakat-bakat yang telah dikenal pasti.
“Selain ACE, APSB juga memiliki satu pusat kecemerlangan yang dikenali Centre for Mechanical Ventilation (CeMV) yang kini ditempatkan di dalam Hospital UiTM Sungai Buloh.
“ACE dan CeMV akan menjadi gabungan pusat inovasi peranti perubatan dan pada masa akan datang, syarikat akan perbanyakkan lagi pusat kecemerlangan di bawah RRT serta akan mengembangkan kerjasama dan kolaborasi dengan institusi dalam dan luar negara bagi mendapat pengiktirafan.
“Ketika ini, kita sedang mencari lebih ramai rakan kolaborasi dan mengalu-alukan pakar yang ada untuk ditempatkan dalam satu pusat kecemerlangan ini,” katanya.
Selasa lalu, APSB melakarkan sejarah apabila melancarkan produk peranti perubatan pertama keluarannya iaitu alat bantuan pernafasan (ventilator) atau VS1 oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
VS1 yang dijangka berada di pasaran pada suku pertama tahun depan, kini hanya menunggu kelulusan daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) selepas empat tahun dibangunkan sejak 2020.
Pada masa sama, produk VS2 Pro yang merupakan versi kedua VS1 sedang dibangunkan dengan memasukkan elemen teknologi kecerdasan buatan (AI) dan teknologi tanpa wayar (wireless).
VS2 Pro masih lagi dalam pembangunan dengan kerjasama MIMOS dan dijangkakan pengeluaran prototaipnya akan siap pada separuh tahun pertama tahun depan. – MalaysiaGazette