MELAKA – Penduduk sekitar Masjid Tanah menerima kejutan hari ini apabila individu yang muncul di hadapan rumah untuk menghantar pesanan makanan mereka bukan penghantar biasa, sebaliknya Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Dengan berpakaian seperti penghantar makanan lain, Ab Rauf bergerak dari satu rumah ke satu rumah bagi menghantar pesanan yang dibuat pelanggan menerusi aplikasi p-hailing.
‘Tugas’ penghantaran itu dilakukan selama kira-kira satu setengah jam bermula pukul 3 petang selepas beliau menerima pesanan di sebuah premis makanan di Pengkalan Balak.
Ab Rauf berkata, tindakannya menyertai sendiri penghantar makanan bukan sekadar suka-suka, sebaliknya bertujuan menyelami realiti kehidupan dan cabaran dihadapi pekerja gig di negeri itu.
Menurut beliau, ia merupakan antara pendekatan turun padang di bawah gagasan Melaka Sayang Rakyat (MESRA) untuk mendekati serta memahami permasalahan rakyat.
Katanya, walaupun pengalaman itu singkat, ia memberi gambaran mengenai jerih perih golongan p-hailing mencari rezeki dalam ekonomi digital.

“Daripada pengalaman ini, saya dapat menghayati kehidupan seorang ‘rider’ yang bersungguh-sungguh bekerja mencari rezeki tanpa mengira hujan dan panas demi menyara anak-anak dan keluarga mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai 27 penghantar makanan melakukan penghantaran di sekitar Masjid Tanah hari ini.
Berdasarkan pengalaman itu, Ab Rauf mengakui peranan pekerja p-hailing tidak boleh dipandang ringan kerana mereka menjadi antara penggerak penting dalam memudahkan urusan masyarakat, khususnya bagi mendapatkan makanan, barangan dan perkhidmatan secara dalam talian.

“Saya melihat mereka ini perlu diberi perhatian daripada pelbagai sudut kerana mereka turut menyumbang kepada ekonomi dan membantu memudahkan urusan masyarakat melalui kaedah pembelian dalam talian.
“Saya amat menghargai peranan yang dimainkan mereka yang mengambil tanggungjawab untuk bekerja dan mencari rezeki dalam bidang ini,” katanya.
Ab Rauf berkata, kerajaan negeri akan terus meneliti kaedah bersesuaian bagi membantu meringankan beban golongan p-hailing, khususnya dalam memastikan kebajikan serta kelangsungan sumber pendapatan mereka terus diberi perhatian.
Sementara itu, beberapa penduduk yang ditemui melahirkan rasa terkejut apabila Ketua Menteri sendiri muncul di hadapan rumah mereka dengan berpakaian seperti penghantar makanan.

Seorang peniaga, Muhamad Redza Sidek, 32, berkata, dia sama sekali tidak menyangka individu yang memanggilnya keluar untuk menyerahkan pesanan ialah Ketua Menteri Melaka.
Menurutnya, itu kali pertama dia melihat sendiri seorang pemimpin utama negeri turun mendekati rakyat menerusi pendekatan sedemikian.
“Saya macam tidak percaya yang datang menghantar pesanan saya adalah Ketua Menteri Melaka,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Rohani Zainal, 66, juga tidak menyangka individu yang membawa pesanan pisang goreng dan rojak buah dari sebuah kedai makan di Pengkalan Balak ialah ‘Tok Rauf’.
“Perkara itu dimaklumkan oleh anak saudara saya yang mengambil makanan itu daripada Tok Rauf,” katanya.
Rohani turut kagum melihat Ab Rauf turun sendiri menyantuni masyarakat menerusi pendekatan berkenaan.
Bagi penghantar makanan, Muhammad Akmal Mustapha Kamal, 37, dia terkejut apabila Ketua Menteri sanggup menyertai dirinya dan rakan-rakan melakukan penghantaran makanan.

“Sungguh saya terkejut apabila Datuk Seri Ab Rauf mahu bersama-sama menghantar makanan.
“Beliau sendiri mahu mempelajari bagaimana pesanan makanan dibuat dan dihantar kepada pelanggan,” katanya.
Rakannya, Syamsul Kamal Sidek, 40, pula berkata, dia kagum melihat seorang pemimpin negeri bergaul bersama mereka tanpa banyak protokol.

Katanya, Ab Rauf melayan mereka seperti rakan sepanjang program berkenaan.
“Inilah pertama kali di depan mata saya seorang pemimpin negeri bersama kami untuk menjadi seorang penghantar makanan,” katanya. – MalaysiaGazette
















