KUALA LUMPUR – Teka-teki dalang di sebalik kematian Chef Rahman yang ditemukan di dalam periuk tomyam akhirnya terjawab, sekali gus melabuhkan tirai Teater Muzikal Tomyam Berdarah yang penuh suspen, misteri dan gelak tawa.
Pementasan diadakan di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor itu berlangsung gilang-gemilang dan menerima sorakan para penonton yang hadir sepanjang tiga hari, bermula pada 28, 29 dan 30 Ogos 2026.
Menurut penerbit Teater Muzikal Tomyam Berdarah, Siti Rohayah Atan, rata-rata penonton begitu menghayati dan menikmati setiap babak yang dipersembahkan dalam teater bergenre satira jenayah tersebut.
“Gabungan elemen komedi, suspen dan emosi yang digarap rapi dalam jalan cerita berjaya menghiburkan jiwa serta meninggalkan impak kepada audiens daripada pelbagai peringkat usia.
“Tambahan pula, di sebalik gelak tawa, setiap plot sarat dengan mesej dan pengajaran buat masyarakat agar sentiasa menyantuni insan sekeliling walau sudah berada di puncak kejayaan,” katanya mengenai pementasan yang dibawakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Teater Muzikal Tomyam Berdarah arahan dan skrip ciptaan Aloeng Silalahi merupakan kolaboratif strategik antara CTRA Production, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (PUSKEB USIM) dan PUSKEB UKM.
Hadir sama menyaksikan pementasan berkenaan antaranya ialah Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan; Sasterawan Negara, Datuk Rahman Shaari; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman dan Tan Sri Johan Jaafar.
Turut hadir ialah Pengarah PUSKEB UKM, Mohammed Asrof Semin dan Pengarah PUSKEB USIM, Salehudin Sukor.
Menerusi pementasan itu, Kelab Kejar Tayang dan Akademi Teater Rupawan Asli (ATRA) di bawah Penerbitan Kreatif PUSKEB USIM komited serta kreatif mempersembahkan karya yang mengangkat tema kulinari.
“Projek ini turut menjadi medan ideal buat tenaga kreatif muda untuk belajar selok-belok produksi dan bekerjasama secara langsung dengan syarikat swasta seperti CTRA Production, merangkumi pelbagai aspek bertaraf profesional,” tambah Siti Rohayah.
Selain pelakon Juhara Ayob dan Karl Shafek, Teater Muzikal Tomyam Berdarah turut dibarisi bakat-bakat muda daripada ATRA PUSKEB USIM.

Dalam pada itu, suasana Panggung Seni UKM yang kondusif menjadi antara faktor utama pementasan ini berjalan lancar. Kemudahan fasiliti lengkap, kawalan suhu, serta sistem bunyi dan pencahayaan terbaik menjadikan pengalaman menonton sangat memuaskan.
Sebagai tanda penghargaan pada acara penutup, penonton dikejutkan dengan penyampaian apron istimewa Teater Muzikal Tomyam Berdarah dan hadiah sampingan kepada tiga pemenang cabutan bertuah iaitu Syed Faizal Al-Atas Syed Hashim, Norhaslinda Norazizan dan Nurul Husna Abdul Halim.
Pelbagai aktiviti lain turut diadakan di perkarangan panggung seperti Pameran Fotografi ‘Potret dan Personaliti (merakam wajah, menyingkap personaliti) Menginspirasi Dunia’ oleh jurugambar wanita profesional Noor Baini Masri dan kaunter kaligrafi PUSKEB USIM.
Pementasan Teater Muzikal Tomyam Berdarah menjadi bukti bahawa karya seni tempatan masih mempunyai tempat yang kukuh dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda dan komuniti setempat.
“Melihat kepada potensi ini diharapkan agar anak-anak muda terus aktif memperkasakan seni teater tempatan bagi memastikan warisan seni persembahan pentas sentiasa relevan dan berkembang mengikut zaman,” ujar Siti Rohayah lagi. – MalaysiaGazette
















