Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

 

KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan Datin Seri Rosmah Mansor menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang membenarkan permohonan untuk mengemukakan bukti baharu dan tambahan dalam dua rayuan jenayah membabitkan beliau.

Menerusi satu kenyataan, peguam Rosmah, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, bukti baharu itu dikemukakan oleh saksi pendakwaan ke-16 (PW16), Rayyan Radzwill Abdullah, termasuk perkara yang dinyatakan dalam akuan berkanun dan afidavitnya.

Menurutnya, Rayyan mendakwa perkara berkenaan tidak digambarkan sepenuhnya atau secara tepat dalam keterangan yang dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi ketika perbicaraan asal.

“Pihak pembelaan berhujah di hadapan Mahkamah Rayuan bahawa bukti ini penting kerana ia berkaitan secara langsung dengan ketepatan, kelengkapan dan kebolehpercayaan keterangan Rayyan ketika perbicaraan, keadaan bagaimana keterangan itu disediakan dan dikemukakan serta asas pembuktian yang membawa kepada sabitan,” katanya.

Amer Hamzah berkata, berdasarkan arahan mahkamah, Rayyan akan hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memberi keterangan berhubung akuan berkanun dan bahan tambahan berkenaan.

Katanya, keterangan itu akan melalui proses pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula, sekali gus memberi peluang kepada pihak pendakwaan dan pembelaan untuk menguji kebenaran, kredibiliti serta kebolehpercayaannya.

“Pihak pembelaan mengalu-alukan proses itu. Ini penting kerana pembelaan tidak meminta supaya bukti baharu diterima tanpa penelitian.

“Sebaliknya, pihak pembelaan secara jelas memohon supaya bukti itu dikemukakan kepada mahkamah dan diuji melalui proses adversarial yang sewajarnya,” katanya.

Menurut Amer Hamzah, bukti baharu itu turut menyentuh dakwaan Rayyan bahawa beliau telah diugut dan tidak digalakkan mendedahkan perkara tertentu yang didakwa pernah disampaikannya ketika siasatan.

Beliau berkata, pihak pembelaan turut menegaskan bahawa keterangan Rayyan bukan sepenuhnya perkara baharu yang hanya timbul pada 2026.

“Secara khususnya, terdapat afidavit terdahulu yang diikrarkan olehnya pada 2020, tidak lama selepas beliau memberikan keterangan ketika perbicaraan, yang menurut pihak pembelaan memberikan konteks penting kepada keterangannya sekarang,” katanya.

Amer Hamzah berkata, kepentingan keputusan hari ini bukan sekadar berkaitan penerimaan dokumen tambahan, sebaliknya bukti berkenaan berpotensi memberi implikasi terhadap integriti proses mencari fakta serta cara keterangan penting pihak pendakwaan dikemukakan kepada mahkamah perbicaraan.

Katanya, bukti yang dicadangkan turut menyentuh perkara penting berkaitan sabitan, termasuk dakwaan permintaan dan pembayaran RM5 juta serta RM1.5 juta, dakwaan atribusi terhadap Rosmah berhubung representasi yang disampaikan melalui Rizal Mansor serta kredibiliti dan kebolehpercayaan saksi yang menjadi sebahagian daripada kes pendakwaan.

“Pihak pembelaan berterima kasih kerana perkara ini kini akan diteliti melalui proses kehakiman yang sewajarnya,” katanya.

Bagaimanapun, Amer Hamzah menegaskan keputusan Mahkamah Rayuan itu tidak bermaksud mahkamah telah memutuskan bukti baharu berkenaan benar atau semestinya perlu diterima.

Katanya, perkara itu hanya akan ditentukan selepas keterangan diterima dan diuji sepenuhnya di Mahkamah Tinggi.

“Bagi Datin Seri Rosmah, keputusan hari ini merupakan peluang penting untuk bukti yang menurut beliau tidak dikemukakan dengan sewajarnya kepada mahkamah perbicaraan asal, kini didengar dan diteliti secara terbuka di mahkamah.

“Selepas bertahun-tahun menjalani proses litigasi, beliau akhirnya mempunyai peluang untuk perkara ini diuji melalui proses kehakiman,” katanya.

Amer Hamzah berkata, pihak pembelaan akan terus meneruskan rayuan mengikut undang-undang dan menantikan prosiding rayuan substantif yang kini ditetapkan pada 14 Oktober ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here