KLUANG – Seorang pemilik kebun kelapa sawit di Renggam di sini mendakwa tanahnya diceroboh syarikat pemaju yang membina longkang besar tanpa mendapat kebenarannya.
Paul Ng Ah Phow, 56, berkata, pihaknya dimaklumkan pembinaan longkang tersebut adalah bertujuan untuk projek landasan keretapi berkembar elektrik.
Katanya, walaupun keluasan pencerobohan hanya seluas 35.654 meter persegi, namun ia dibimbangi menyebabkan runtuhan lebih besar pada masa akan datang.
Jelasnya, ini berikutan adanya cerun di kawasan yang diceroboh yang mampu mengubah keluasan tanah miliknya selain menjejaskan tanaman kelapa sawit berhampiran.
“Penstrukturan semula batu sempadan keluasan tanah juga perlu dilakukan kerana ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan bayaran cukai pada masa akan datang.
“Satu lawatan ke kawasan tapak yang diceroboh bersama-sama pihak berkaitan sudah dilakukan pada 2 Mac tahun ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Paul berkata, hasil keputusan juruukur bertauliah yang hadir mendapati kawasan pencerobohan itu berlaku seluas 35.654 meter persegi (383.78 kaki persegi).
Malah katanya, pihak Pejabat Tanah Daerah (Teknikal) juga memaklumkan bagi proses pengambilan tanah tambahan, pihak pemaju perlu membuat kerja ukur untuk bahagian diceroboh dan keseluruhan kawasan lot 274 yang terlibat.
Paul berkata, satu laporan polis juga dibuat Rabu lalu untuk menuntut siasatan menyeluruh agar prosedur perundangan dapat dilakukan dan haknya sebagai pemilik tanah dapat diberikan seadilnya.
Ujarnya, pencerobohan tanah itu secara dasarnya tidak boleh dikembalikan semula kepada pihaknya kerana melibatkan banyak perkara lain dan tidak berhasrat untuk meminta sebarang perubahan kepada longkang besar yang telah dibina itu.
“Saya hanya mahu ia diselesaikan dengan cara yang harmoni kerana projek pembinaan ini melibatkan pembangunan kerajaan, cuma diperlukan adalah satu penyelesaian cara terbaik untuk mengelakkan ia terus berbangkit pada masa akan datang,” katanya.
Paul menuntut diberikan pampasan sewajarnya selain pihak berkaitan membuat penstrukturan semula batu sempadan tanah kebun kelapa sawit miliknya itu.- MalaysiaGazette
















