KUALA LUMPUR – Semua anak muda tidak kira latar belakang dialu-alukan untuk menyertai parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd Aziz berkata, beliau bangga untuk berjuang bersama-sama anak taikun, Dian Lee dan wanita muda lain yang menyertai parti itu.

“Hai puan. Dengan segala hormatnya, saya sering memuji mereka yang berkebolehan dalam Muda tanpa mengira latar belakang mereka.

“Dian, Dr. Thanussha, Afiqah Zulkifli, Beatrice Chin, Cikgu Ayu dan ramai lagi wanita berkebolehan di Muda. Saya bangga berdiri bersama mereka,” kata Amira Aisya dalam ciapan di Twitter.

Amira Aisya membalas ciapan seorang pengguna Twitter yang mengkritik beliau memuji penyertaan Dian Lee ke dalam Muda.

Dian Lee merupakan anak taikun, Tan Sri Lee Kim Yew.

Anak pengasas dan Pengerusi Eksekutif Country Heights Holdings Bhd. itu mengesahkan penyertaannya sebagai ahli Muda baru-baru ini.

“Satu-satunya sebab anda memujinya kerana dia seorang yang sangat kaya dan agak terkenal.

“Sangat kecewa kerana Muda juga menyukai budaya ‘menjilat’.
Saya fikir orang muda bawa politik baru,” ciap pemilik akaun Twitter @amuse_gueule.

Sebelum itu dalam ciapannya, Amira Aisya menyatakan Dian Lee sebagai seorang yang rajin dan beliau melahirkan rasa gembira selepas pengasas bersama Clearwater Group itu menyertai Muda.

“Ramai yang menilai Dian berdasarkan latar belakangnya. Saya benar-benar menjemput anda untuk minum minum dengan Dian.

“Anda tidak akan bertemu seseorang yang lebih tulen dan rendah hati. Malaysia sejati,” kata Amira Aisya.

Sementara itu Dian di Twitternya memaparkan beliau kini berada di Johor yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri bermula hujung bulan ini.

Graduan RMIT University Melbourne itu berkongsi gambarnya bersama-sama dengan jentera Muda.

“Kita perlu mengambil endah Omicron dengan serius. Kita juga perlu mengambil serius PRN Johor. Rancang untuk pulang mengundi rakyat Johor!” kata Dian dalam salah satu ciapannya.

Sebuah akhbar membuat spekulasi bahawa Dian akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Pahat, tempat asal keluarganya.

Bagaimanapun Dian tidak menjawab spekulasi itu dan meminta untuk menunggu pengumuman rasmi Muda pada 11 Februari ini.-Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast