Shariffa Sabrina Syed Akil.

KUALA LUMPUR – Aktivis alam sekitar Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berhadapan notis tuntutan berjumlah RM1 juta daripada Kerajaan Negeri Pahang.

Tuntutan tersebut dibuat terhadap dua kenyataan Shariffa Sabrina yang didakwa berunsur fitnah mengenai aktiviti pembalakan di negeri itu.

Shariffa Sabrina didakwa membuat kenyataan itu dalam dua catatan Facebook bertarikh 29 Disember dan 30 Disember tahun lepas, dan semasa wawancara Sinar Harian dengan Johan Jaaffar pada 12 Januari.

Selain saman, Shariffa Sabrina yang merupakan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) juga dituntut untuk membuat permohonan maaf tanpa syarat secara terbuka.

“Permohonan maaf tersebut mesti diluluskan oleh pihak kami dan berada di dalam akaun Puan selama-lamanya.

“Selanjutnya kami telah diarahkan anakguam kami untuk menuntut sebanyak RM1,000,000 dan/atau ganti rugi setimpal kesan daripada tindakan Puan melakukan kesemua sebaran tersebut dan mengakibatkan anakguam kami dipandang hina dan rendah serta menjejaskan imej dan nama baik anakguam kami,” katanya.

Notis tuntutan itu menyatakan kenyataan Shariffa Sabrina membawa maksud:

Kerajaan Negeri tidak bertanggungjawab dengan membenarkan pembalakan di kawasan pergunungan Karak seolah tanpa melakukan Environment Impact Assessment;

Kerajaan Negeri bersekongkol dengan Jabatan Perhutanan Malaysia untuk mengeluarkan kenyataan berunsur penipuan bahawa kononnya tiada projek pembalakan di Hutan Simpang Lentang;

Kerajaan Negeri telah melakukan pembalakan di Hutan Simpang Lentang tanpa rasa bersalah sehingga mengakibatkan malapetaka.

Kerajaan Negeri terlibat dan merupakan punca kepada kegiatan pembalakan dan penerokaan secara haram di tanah hutan Kerajaan Negeri Pahang; dan

Kerajaan Negeri mengamalkan rasuah dengan membenarkan aktiviti pembalakan secara berleluasa kepada syarikat pembalakan di kawasan hutan di negeri Pahang.

Shariffa Sabrina dituntut mematuhi notis tersebut dalam tempoh 14 hari sebelum tindakan mahkamah diambil.

Notis tuntutan tersebut dibuat melalui Hidayah Ishak & Partners bertarikh 4 Fabruari 2022.

Aktivis tersebut berkongsi notis tuntutan berkenaan di laman Facebooknya hari ini.

“Kenapa nak saman saya. Kenapa saya mesti minta maaf, sepatutnya kerajaan yang kena minta maaf pada rakyat terutama mangsa-mangsa banjir.

“Ini semua untuk menakutkan orang ramai supaya tidak bersuara. Saya bercakap tentang kemusnahan alam pun nak dibalas dendam. Sepatutnya panggil bermuafakat bukan cara macam ni. Mereka mungkin berkuasa tapi Allah lagi Maha Kuasa,” katanya.

Dalam ruangan komen, Shariffa Sabrina berkata, beliau akan berhadapan dengan tuntutan tersebut di mahkamah.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.