DUBAI – Pendapatan eksport dari rantau Timur Tengah dijangka menjanjikan prospek jangka pendek yang positif berikutan beberapa acara penting yang berlangsung di rantau berkenaan seperti Ekspo Dunia 2020 Dubai, FIFA 2022 di Qatar termasuk penyambungan semula perjalanan Haji serta Umrah, kata Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK).
Timbalan Menteri KPPK Datuk Willie Anak Mongin berkata, Malaysia melihat wilayah Timur Tengah sebagai destinasi ekonomi dan eksport yang utama bagi negara.
Kempen tersebut akan menyaksikan produk berasaskan minyak sawit Malaysia iaitu makanan, kosmetik dan farmaseutikal dijual melalui Lulu Hypermarkets di Dubai.
Sebelum ini, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan konglomerat multinasional India, yang mengendalikan 224 kedai runcit di 22 negara telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) semasa pembukaan Minggu Komoditi Tani (Makanan Komoditi Tani) di Pavilion Malaysia semasa Ekspo 2020 Dubai.
Beliau menjelaskan Jepun telah memperakui Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan ia telah membantu negara dalam mempromosikan produk berasaskan minyak sawit di sana.
Sementara itu dalam ucapannya sebelum ini Timbalan Menteri itu berkata pada 2021, Timur Tengah mengimport 2.34 juta tan minyak sawit Malaysia, yang merupakan peningkatan sebanyak 8.2 peratus berbanding dengan tempoh yang sama pada 2020.
Katanya lagi, negara-negara seperti Turki, Iran dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menyumbang 84 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia ke rantau Timur Tengah.
Sebagai hab utama di Timur Tengah, UAE sentiasa menjadi destinasi eksport terbesar Malaysia dan sumber import kedua terpenting di rantau ini, selain berfungsi sebagai pintu masuk untuk Malaysia menembusi pasaran baharu di rantau yang lebih luas.
Pasaran minyak sawit UAE sendiri kini merupakan pengimport minyak kelapa sawit keempat di dunia Arab dan dijangka mencapai US$467.1 juta menjelang 2025, menurut satu laporan terkini oleh Grand View Research, Inc.
“Kami sangat berharap bahawa pelancaran kempen pengguna serta pemeteraian MoU yang diadakan baru-baru ini akan membuka lebih banyak peluang bagi produk minyak sawit dan kelapa sawit Malaysia ke pasaran yang lebih besar di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette