Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) yang dipengerusikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.-Foto Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) perlu melihat kembali model pembiayaan perumahan supaya memudahkan pemilikan perumahan.

Ia bagi memastikan institusi kewangan mempermudahkan pinjaman untuk B40 dan M40 membeli rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan rumah mampu milik.

Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, fokus harus diberi untuk pembelian terus dan sewa untuk milik.

“Semua pihak perlu memainkan peranan supaya sasaran satu keluarga satu rumah dapat direalisasikan.

“Untuk mencapai matlamat ini, Kerajaan Persekutuan akan memberi subsidi, kerajaan negeri menyediakan tanah manakala bank mempermudahkan pembiayaan bagi memastikan harga rumah PPR dan rumah mampu milik dapat dijual dengan harga yang berpatutan.

“Dalam masa yang sama, kerajaan komited untuk menyediakan rumah mampu milik untuk generasi muda supaya mereka dapat memiliki kediaman sendiri,” kata Ismail Sabri.

Perkara tersebut dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) yang dipengerusikan Ismail Sabri hari ini.

Mesyuarat tersebut bersetuju menetapkan hala tuju baharu PPR yang mengambil kira keperluan semasa serta memasukkan komponen baharu ke arah menjayakan agenda Malaysia Berdaya Huni.

Pembinaan PPR baharu akan mengambil kira elemen seperti keterhubungan dan akses internet seperti fiber to the home (FTTH).

Selain itu, jaringan hubungan pengangkutan awam serta reka bentuk yang lebih ekonomik dan lebih selesa juga akan menjadi elemen penting dalam pembinaan PPR.

Turut dibincangkan strategi penyediaan dan pelaksanaan 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe12).

Projek tersebut melibatkan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak pemaju perumahan swasta.

“Kerajaan komited memastikan penyediaan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.

“Oleh itu, KPKT telah memperkenalkan Home Ownership Programme (HOPE) bagi melihat ekosistem yang lebih menyeluruh dalam penyediaan perumahan, pembiayaan perumahan serta program-program yang dapat membantu Keluarga Malaysia dalam pemilikan perumahan,” kata Ismail Sabri.

Mesyuarat tersebut turut memberi tumpuan kepada pembinaan rumah mampu milik di bandar kecil dan pinggir bandar untuk meningkatkan peluang golongan M40 membeli rumah.

Menurut Ismail Sabri, kebimbingan adalah berkaitan kos bahan binaan seperti harga besi dan keluli yang semakin meningkat serta penguasaan kartel dalam industri pembinaan.

Justeru, Menteri Perumahaan dan Kerajaan Tempatan dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) telah diarah supaya menangani perkara tersebut.

“Jika ia berpunca daripada permit import (AP) mesyuarat mencadangkan supaya ia dibuka kepada semua,” kata Ismail Sabri.

Dalam mesyuarat itu, Khazanah Research Institute dan BNM turut membentangkan data-data semasa serta isu-isu berbangkit dalam aspek perumahan rakyat serta akses kepada pembiayaan bagi perumahan mampu milik.

Maklumat-maklumat tersebut akan dijadikan asas kepada kerajaan untuk menambah baik strategi penyediaan perumahan mampu milik serta pengukuhan polisi-polisi berkaitan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast