Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Omar Mokhtar (duduk, dua kanan), Adam Adli (duduk, dua kiri), Abdul Aziz Shari (duduk, kiri) serta yang lain memegang plakad pada sidang media Jelajah Johor Bangkit, Kluo Ngundi sempena PRN Johor di Pejabat PKR, Petaling Jaya. Foto FAREEZ FADZIL, 11 FEBRUARI 2022.

PETALING JAYA – Angkatan Muda Keadilan (AMK) pusat dengan kerjasama AMK Johor akan mengerakkan jenteranya habis-habisan turun berkempen bagi memberi kemenangan kepada calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Exco AMK pusat, Omar Mokhtar berkata, gerakan yang dinamakan ‘Jelajah Johor Bangkit – Kluo Ngundi itu digerakkan bersama Mahasiswa Keadilan Malaysia, Suara Keadilan, Studio Dahsyat, cabang Keadilan setiap Parlimen dalam Johor dan beberapa NGOs di peringkat tempatan serta nasional.

“Jelajah ini bermula dengan program pertama esok di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut dan Kukup sebelum diteruskan ke DUN selepas itu.

“Program ini juga meletakkan keutamaan bagi DUN yang ditandingi oleh PKR dan juga bersedia untuk turut sama membantu di kerusi yang ditandingi rakan komponen lain dalam PH.

“Walaupun fokus pada waktu ini bagi mendepani PRN Johor, tetapi hasrat ini turut disasarkan untuk disebarluaskan sebagai persediaan ke arah PRU-15,” katanya.

Ketua Penerangan AMK Johor, Omar Mokhtar bercakap pada sidang media Jelajah Johor Bangkit, Kluo Ngundi sempena PRN Johor di Pejabat PKR, Petaling Jaya. Foto FAREEZ FADZIL, 11 FEBRUARI 2022.

Beliau berkata demikian pada sidang media Peluncuran Jelajah Johor Bangkit, Kluo Ngundi di Bilik Media, Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat hari ini.

Turut hadir, Ketua Koordinator bersama jelajah, Faizal Sanusi, Adam Adli dan Faezuddin Puad.

Rabu lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 26 Februari ini, diikuti mengundi awal 8 Mac dan hari pengundian 12 Mac 2022.

Menurut Omar, tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor membubarkan DUN negeri itu adalah terjemahan kepada sikap tidak meletakkan kepentingan rakyat yang sedang berdepan dengan cabaran begitu getir sekarang sebagai keutamaan.

Kata beliau, sikap rakus UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta perebutan kuasa dengan parti Bersatu perlu segera dihentikan sebelum merebak ke negeri lain pula.

Ini, katanya, bagi meletakkan kembali fokus untuk membela nasib rakyat di atas landasan yang tepat, di samping menjauhkan diri daripada terperangkap dengan permainan politik UMNO/BN dan PPBM/PN.

Mengulas lanjut mengenai program itu, beliau berkata, inisiatif bersepadu yang digerakkan melalui medium Biro Penerangan akan memberi perhatian terhadap usaha meraih sokongan rakyat Johor untuk sekali lagi memberi peluang kepada PKR dan PH serta rakan kerjasama bagi memimpin kerajaan Johor.

Beliau turut menjelaskan, jelajah itu akan memberi penekanan ke arah menyebarkan informasi tepat berkenaan isu rakyat, tawaran PKR dan PH serta kejayaan sepanjang pentadbiran PH sebelum ini secara terus kepada rakyat Johor di lapangan.

“Kita juga akan membangkitkan kesedaran rakyat khususnya anak muda dalam menterjemah hasrat sebenar pelaksanaan Undi 18 dengan berperanan dalam ruang demokrasi melalui pilihan raya.

“Menggembleng sikap rasa bertanggungjawab kepada rakyat Johor sama ada yang menetap dalam negeri ini atau berada di luar untuk keluar mengundi dalam PRN kali ini.

“Selain mengumpulkan seramai mungkin individu dari pelbagai latar belakang yang bersedia tampil ke hadapan untuk menjadi sukarelawan bagi membantu menjana kemenangan PKR dan PH Johor,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast