LONDON – Jenama sukan terkenal, Adidas telah menamatkan tajaan kepada Kurt Zouma ekoran video tular memaparkan pemain pertahanan West Ham United itu menendang dan menampar kucing peliharaannya baru-baru ini.
Pemain berusia 27 tahun itu telah pun membuat permohonan maaf secara terbuka namun Adidas tetap mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak dengan pemain antarabangsa Perancis itu.
“Kami telah memuktamadkan siasatan dan mengesahkan Kurt Zouma bukan lagi atlet di bawah kontrak bersama Adidas,” ujar jurucakap Adidas menurut laporan The Sun.
Sementara itu, syarikat barangan kesihatan, Vitality turut mengesahkan pihaknya kini menggantung sementara tajaan mereka terhadap West Ham United kerana tidak berpuas hati dengan cara kelab tersebut mengendalikan kes melibatkan pemainnya.
Sebelum ini, kelab London itu memberitahu, mereka telah mengenakan denda dua minggu gaji terhadap Zouma.
Namun dia telah diturunkan ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Watford walaupun terdapat desakan supaya pemain tersebut digantung.
Pengurus West Ham United, David Moyes mempertahankan keputusannya memilih Zouma turun dalam kesebelasan utama untuk perlawanan menentang Watford.
Persatuan Diraja Untuk Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (RSPCA) sebagai pertubuhan yang melindungi haiwan di England dan Wales telah mengesahkan kedua-dua ekor kucing Zouma kini selamat di bawah jagaan mereka. – The Sun
https://www.thesun.co.uk/sport/17601039/kurt-zouma-dropped-sponsor-adidas/