Pengasas MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap ketika sesi dialog pada Program 'Tanya Saja Apa-Apa Tanpa Tapis' di Kampung Tengku Petaling Jaya, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 10 FEBRUARI 2022.

PETALING JAYA – Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mungkin terpaksa membatalkan hasratnya  bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, walaupun Amanah memberi laluan kepada parti anak muda itu namun rundingan akan dilakukan semula susulan pihaknya menerima rungutan parti sekutunya, PKR.

“Saya menghormati pandangan sahabat dan terima kritikan anak muda, kena terima kritikan ini dengan hati terbuka.

“Saya sudah menghubungi Setiausaha Agung Muda untuk berhubung dengan wanita PKR Johor untuk cari kesepakatan, minta nasihat juga, pimpinan Muda jangan ego.

“Jika tidak dapat diselesaikan, hormati hak mereka untuk bersuara untuk tidak bersetuju dan kita teruskan gerak kerja,” katanya dalam Sesi Syed Saddiq Tanpa Tapis di pejabatnya di Kampung Tunku malam tadi.

Terdahulu, Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis melahirkan rasa kecewa dengan keputusan Amanah yang menyerahkan kerusi itu yang berpotensi dipertahankan kepada Muda pada PRN Johor, bulan depan.

DUN Puteri Wangsa salah satu daripada enam kerusi yang diserahkan Amanah dan DAP kepada Muda untuk ditandingi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast