Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin - Foto HAZROL ZAINAL, 18 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) meramalkan golongan Kluster Mahkamah dalam UMNO akan mendesak Perdana Menteri membubarkan Parlimen sekiranya menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelak.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mempunyai kuasa dalam parti dan yang menguasai UMNO adalah presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Apabila Parlimen dibubarkan, yang berkuasa menentukan calon yang akan bertanding dan mengetuai parti dalam pilihan raya adalah presiden bukan Perdana Menteri. Jika parti mereka menang dalam pilihan raya, lazimnya yang akan diangkat menjadi Perdana Menteri adalah presiden parti.

“Jika ini berlaku, maka lengkaplah perancangan Kluster Mahkamah. Mereka akan kembali berkuasa dan selesailah masalah mereka, na’uzubillah,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah menurut Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu lagi, Kluster Mahkamah kini giat menjalankan perancangan mereka untuk kembali berkuasa.

Jelasnya, ia jelas dipamerkan dengan beberapa siri PRN yang berlangsung kini dan mahu melihat kerajaan negeri yang dibentuk bersama-sama dengan PN tumbang.

“Apabila diadakan pilihan raya dan jika parti mereka menang, kepimpinan parti yang diterajui oleh Kluster Mahkamah akan dilihat semakin kuat dan berpengaruh.

“Strategi ini bermula selepas BN menang PRN Melaka. Mereka berasa cukup yakin bahawa rakyat telah kembali menyokong mereka walaupun BN hanya mendapat 38.5 peratus undi. Kerana itu kumpulan ini telah merancang pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor untuk diadakan PRN Johor,” katanya.

Justeru itu, Muhyiddin berkata, hanya ada satu cara untuk memastikan golongan itu tidak kembali berkuasa adalah dengan memastikan BN kalah di Johor.

“Sebagai orang Johor, saya percaya pengundi di negeri Johor adalah bijaksana. Saya tidak fikir Bangsa Johor yang beradab, berhemah dan tinggi nilai moral dan agamanya rela membiarkan PRN Johor digunakan sebagai alat untuk Kluster Mahkamah dan kleptokrat kembali berkuasa,” katanya lagi.

Rabu lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari, manakala tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Habis tu tak kan nak lantik kamu yg bebal & gagal ni sbg PM balik? Bodoh punya nanusia..masa ko nak jd PM, bukan main lagi kluster mahkamah ni lah yg kau jilat untuk dapat sokongan. Musibat punya manusia kaki kencing

Comments are closed.