Pavitra A/p Pogelselvan

KUANTAN – Seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun dilaporkan hilang apabila tidak pulang ke rumah selepas tamat waktu persekolahan semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kehilangan mangsa disedari selepas dimaklumkan oleh pemandu van berusia 60 tahun kerana tidak ikut pulang menaiki van bersama penumpang lain.

Jelas Zaiham, pihak polis menerima laporan kehilangan Pavitra A/p Pogelselvan, pelajar tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Ketari yang dikesan tiada di kawasan sekolah  pada 10 Februari 2022, jam 4.41 petang.

Mangsa tinggal bersama ibu saudaranya hampir setahun manakala kedua ibu bapa mangsa menetap di Kuala Lumpur.

“Pengadu yang merupakan ibu saudara kepada pelajar menerima panggilan dari bapa mangsa dan maklumkan telah terima panggilan daripada pemandu van yang mangsa tidak menaiki van selepas tamat waktu persekolahan.

“Hasil siasatan awal pihak polis mendapati, mangsa juga tidak pulang ke rumah selepas waktu persekolahan,” katanya menerusi kenyataan.

Zaiham memohon saksi yang melihat mangsa supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2222222 atau melaporkan ke balai polis yang berdekatan. – MalaysiaGazette