Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2022 antara 5.5% dan 6.5% selari dengan unjuran oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia masing-masing pada 5.7% dan 5.8%.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pemulihan ekonomi pada tahun 2021 akan menyokong Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia agar kembali ke paras prapandemik.

Di samping itu, pertumbuhan akan dipacu terutamanya oleh Bajet 2022 yang mengembang, normalisasi dalam aktiviti ekonomi dan sosial berikutan kadar vaksinasi yang tinggi, penyambungan semula projek dengan kesan pengganda yang tinggi serta permintaan luar yang kukuh terutamanya daripada rakan dagang utama.

Menurutnya, pengekalan kelonggaran sekatan pergerakan serta aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih rancak seiring dengan permintaan domestik dan luar yang kukuh, dijangka menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.

Sentimen positif perniagaan dan pengguna yang berterusan diperkukuh melalui kadar vaksinasi yang tinggi iaitu hampir 80% daripada keseluruhan populasi telah mendapat vaksinasi penuh, selain lebih daripada separuh daripada populasi dewasa telah menerima dos penggalak.

”Melangkah ke hadapan, inisiatif Bajet 2022 seperti program JaminKerja dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion yang akan menjamin 600,000 pekerjaan, serta program SemarakNiaga yang bernilai RM40 bilion untuk membantu memulakan kembali perniagaan akan menyokong lagi momentum pertumbuhan ekonomi tahun ini.

”Kerajaan juga akan memantau rapi sebarang tekanan inflasi terutamanya ke atas barangan makanan, dan memastikan langkah yang sewajarnya dilaksanakan bagi mengurangkan kebimbangan rakyat terhadap kelangsungan hidup mereka” menurut beliau.

Beliau mengulas mengenai prestasi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia yang meningkat sebanyak 3.6% pada suku keempat 2021 (S4 2021), berbanding penguncupan sebanyak 3.4% pada tempoh yang sama tahun lalu.

Tambah beliau, kerajaan akan terus mengutamakan kesejahteraan rakyat dengan mengurangkan ancaman Covid-19, serta pemulihan sepenuhnya daripada kesan banjir kekal menjadi keutamaan.

Sehubungan itu, kerajaan telah bertindak secara responsif kepada keperluan yang mendesak di samping mengekalkan kebertanggungjawaban fiskal dan pelaksanaan pembaharuan yang strategik bagi memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan dan berdaya tahan dalam jangka sederhana dan panjang.

Mengulas lanjut mengenai prestasi KDNK, Tengku Zafrul berkata, prestasi ekonomi suku keempat 2021 yang memberangsangkan telah disokong oleh penambahbaikan dalam pasaran buruh dengan kadar pengangguran berkurang kepada 4.2%, dan nilai jualan sektor pembuatan yang meningkat sebanyak 15.5% pada bulan Disember.

Perdagangan luar negeri mencatat rekod tertinggi sepanjang suku keempat, di mana jumlah dagangan negara pada tahun lalu melebihi paras RM2 trilion dengan peningkatan tahunan sebanyak 24.8%, iaitu pertumbuhan tertinggi sejak tahun 1994.

Pertumbuhan ini disumbang oleh aktiviti ekonomi global yang kukuh, khususnya dalam kalangan rakan dagang utama negara.

”Selain itu, pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia mencatat aliran masuk bersih berjumlah RM24.7 bilion pada suku keempat 2021, menjadikan jumlah FDI tahun 2021 melebihi RM50 bilion (2020: RM14.6 bilion), iaitu lebih tinggi daripada tahun-tahun prapandemik,” ujarnya. – MalaysiaGazette