Pondok di tengah ladang kelapa sawit adalah satu-satunya tempat di mana anak-anak Kampung Orang Asli Kemidak mendapat isyarat internet yang jelas untuk mengikuti kelas dalam talian ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bekok, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 13 JUN 2021.

WALAUPUN negara telah memasuki fasa pandemik, namun impak daripada kewujudan Covid-19 kekal meragut kesejahteraan masyarakat. Kebergantungan secara total terhadap teknologi dalam semua sektor termasuk sektor pendidikan telah mengundang kepada gangguan terhadap perkembangan khususnya anak-anak dan remaja serta tanpa disedari telah melemahkan perhubungan ibu bapa dan anak. Kanak-kanak dan remaja adalah antara pengguna internet yang tertinggi.

Tempoh usia ini kanak-kanak dan remaja mengalami perkembangan yang dipengaruhi oleh pelbagai faktor antaranya genetik, neurologi, fizikal, persekitaran dan emosi. Tambahan lagi, tempoh usia ini juga adalah fasa yang kritikal dimana kanak-kanak dan remaja akan membentuk autonomi dan membina identiti. Namun, kehadiran media teknologi tanpa pemantauan bisa merencatkan perkembangan asas mereka yang
terdiri daripada perkembangan fizikal, kognitif, sosial dan emosi.

Perkembangan asas ini adalah tuntutan utama dalam menjamin kesejahtreraan hidup kerana mempengaruhi kepada tingkahlaku, pembangunan sosial, akhlak dan personaliti kanak-kanak dan remaja begitu juga menentukan bagaimana pembawakan mereka di alam dewasa kelak. Justeru, golongan ini perlu dibimbing, diawasi, diperhatikan dan diberi tunjuk ajar tentang keselamatan ketika melayari internet. Namun, amat menyedihkan kesedaran kawalan dan pemerhatian dalam kalangan ibu bapa adalah kurang.

Pada hemah penulis, rata-rata ibu bapa sebenarnya akur bahawa internet memiliki faedah dan kemudharatan. Namun ibu bapa gagal mengawal atau membimbing anak-anak dan masih tercari-cari bagaimana cara yang terbaik untuk membantu anak-anak daripada terdedah dengan kesan negatif media. Dalam masa yang sama, ibu bapa sendiri bergelut dengan pengaruh teknologi dan mengakui terlalu banyak masa dihabiskan bersama telefon bimbit dan tidak kurang juga ada yang mengakui dan menyedari telah memberi implikasi kepada masa bersama anak-anak.

Oleh kerana alat peranti memiliki kuasa yang luar biasa dalam mempengaruhi masyarakat tidak kira usia, maka ibu bapa perlu melakukan perubahan. Menjadi ibu bapa adalah tanggungjawab yang besar apatah lagi keibubapaan di era teknologi digital ini. Allah SWT juga telah mengingatkan kita tentang ujian dan cabaran dalam mendidik anak-anak di samping ganjaran yang besar yang disediakan, sebagaimana firman-Nya di dalam surah Al-Taghabun ayat 15: “Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.”

Justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan dan menggalas tanggungjawab sebaiknya.
Keibubapaan atau pengasuhan di era digital ini memerlukan inisiatif yang selari dengan
perkembangan digital. Ibu bapa tidak boleh sama sekali bersifat pasif dengan hanya membiarkan diri dibawa arus, sebaliknya perlu melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan mengikut kesesuaian semasa khususnya keibubapaan digital serta mengaplikasikan terhadap anak-anak. Perlu diingatkan, ibu bapa adalah agen perubahan yang paling dekat dengan anak-anak manakala rumah pula adalah tempat asas bagi pembangunan minat, membentuk kepekaan dan nilai terhadap sesuatu perkara
termasuk kepada media digital.

Keibubapaan digital merujuk kepada penglibatan ibu bapa dalam aktiviti anak-anak ketika bersama media teknologi di samping menerapkan elemen digital dalam aktiviti harian anak. Ini bertujuan untuk memastikan segala didikan dan penyampaian kepada anak-anak dapat diterima dengan berkesan bersesuaian dengan karektor anak-anak dan remaja khususnya generasi Z dan generasi Alpha yang sememangya berorientasikan digital. Konsep keibubapaan digital muncul sebagai salah satu usaha membantu ibu bapa dalam membimbing anak-anak ketika diatas talian memandangkan telah berlaku
peningkatan pelbagai isu negatif kesan daripada media digital.

Tidak dinafikan, keibubapaan di zaman digital ini merupakan cabaran hebat kepada para ibu bapa memandang ibu bapa tidak dibesarkan dalam suasana ledakan teknologi yang pesat sepertimana anak-anak hari ini. Namun, alasan itu tidak harus dibangkitkan lagi, apa yang penting adalah tanggungjawab ibu bapa itu sendiri. Persoalannya, bagaimana dan apakah tindakan yang perlu diambil oleh ibu bapa?

Ibu bapa seharusnya celik teknologi serta memberi sokongan dan galakan terhadap anak-anak dalam menguasai teknologi. Namun, perlu disertai dengan peraturan bagi mengelakkan daripada dipengaruhi oleh kesan buruk. Menyekat atau menghalang anak-anak daripada pendedahan teknologi sebenarnya akan melemahkan kemahiran digital yang menjadi tuntutan masa kini. Di samping itu, membantu anak-anak berhadapan dengan media dan teknologi bukanlah bermaksud menghalang mereka daripada terdedah dengan media dan teknologi. Hal ini kerana, mengeluarkan anak daripada risiko hanya akan memperluas jarak mereka dengan persekitaran sosial.

Sekiranya suatu hari nanti di luar kawalan ibu bapa, kanak-kanak tersebut telah berhubung dengan teknologi atau terdedah dengan kandungan media yang negatif, maka akan timbul rasa ingin tahu yang tinggi dan sukar diuruskan dengan baik. Sehubungan itu, dalam konteks keibubapaan digital, ibu bapa dan anak-anak perlu seiring menyelami alam maya supaya tidak ketinggalan dengan arus teknologi yang pantas berubah di
samping memanfaatkan teknologi digital untuk kebaikan dan dalam masa yang sama menghindari salah guna kemudahan teknologi ini.

Antara perkara penting yang perlu difahami oleh ibu bapa adalah jenis mediasi ibu bapa. Mediasi ibu bapa adalah strategi yang digunakan oleh ibu bapa dalam memantau anak-anak menggunakan media dan teknologi. Strategi ini adalah bertujuan untuk mengurangkan kesan negatif media teknologi malah dapat memperkasakan pengetahuan dan mengasah kemahiran apabila menggunakan media. Melalui mediasi juga dapat membimbing anak-anak memaksimumkan penggunaan teknologi kepada aktiviti
yang positif seterusnya meminumkan risiko. Umumnya terdapat tiga jenis mediasi ibu bapa terhadap anak-anak.

Pertama adalah mediasi aktif yang merujuk kepada ibu bapa mengambil peluang dengan berbicara, berbincang, berbual atau berkongsi pengalaman dengan anak-anak mengenai kandungan media yang tersedia. Contohnya ibu bapa berkongsi kandungan yang bermanfaat, jenis laman yang tidak sesuai, risiko yang bakal ditemui serta langkah yang perlu dilakukan. Kebiasaannya ibu bapa yang risau atau bimbang pendedahan negatif media terhadap anak-anak akan mengaplikasikan jenis mediasi aktif.

Hasilnya, anak-anak berupaya membuat penapisan kendiri dan menggunakan internet dengan selamat. Jenis yang kedua adalah mediasi sekatan dimana ibu bapa membuat pengawalan dengan menetapkan peraturan dan garis panduan. Ini bertujuan untuk mengawal dan mengehadkan masa penggunaan media oleh anak-anak. Kebiasaannya, penetapan yang dilakukan adalah seperti tempoh masa penggunaan, jenis kandungan dan juga tempoh usia.

Terdapat pengkaji mendapati walaupun strategi ini berupaya mengurangkan pendedahan kepada risiko namun dalam masa yang sama turut mengurangkan kemahiran digital kanak-kanak dan remaja. Strategi mediasi yang ketiga adalah penggunaan bersama. Mediasi ini merujuk kepada ibu bapa menggunakan internet dan berkongsi aktiviti internet bersama anak-anak. Contohnya, ibu bapa akan menghadirkan diri bersama-sama
ketika anak-anak melayari internet atau ibu bapa menonton movie bersama anak-anak serta melayari media sosial bersama.

Kebanyakan ibu bapa jenis ini cuba memupuk minat sebagaimana anak mereka
dalam usaha untuk memasuki dunia anak-anak. Kaedah ini secara tidak langsung membantu ibu bapa untuk mengawasi penggunaan internet oleh anak-anak.
Ketiga-tiga jenis mediasi ini berupaya mengurangkan risiko anak-anak dan remaja ketika bersama media dan teknologi. Kebanyakan ibu bapa mengamalkan strategi berdasarkan kepada kesesuian masa, usia anak-anak, tingkahlaku serta karakter anak masing-masing. Sekiranya para ibu bapa dan pembaca telah mengamalkan salah satu daripada strategi ini, syabas diucapkan.

Bagi ibu bapa yang masih mencari-cari strategi yang sesuai, masih belum terlambat. Bersama-sama kita berusaha dalam menghasilkan anak-anak yang bersahsiah serta mempunya maruah yang tinggi. Bagaimana tingkahlaku anak-anak kita hari ini akan menentukan kelangsungan hari esok mereka.

Oleh: Dr Nor Hamizah Ab Razak
Pensyarah Kanan, Universiti Sains Islam Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast