KUALA LUMPUR – Seorang remaja perempuan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 10 sebuah flat di Taman Tun Teja, Rawang, dekat sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada pukul 3.17 petang.
Menurut beliau, seorang pegawai dan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang bersama sebuah jentera serta Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi pada pukul 3.26 petang, terdapat satu mayat remaja perempuan berusia 14 tahun disahkan telah meninggal dunia.
“Kita terima panggilan dari Kementerian Kesihatan Malaysia yang sudah terlebih dahulu berada di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Norazam berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai jatuh dari tingkat 10 flat berkenaan.
Katanya lagi, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut. – MalaysiaGazette