KUALA LUMPUR – Penang FC mengesahkan pemain sayapnya, Adib Raop mengalami kerosakan tulang rawan dan luka dalam hidung.
Ia akibat insiden pergaduhan ketika menentang Terengganu FC II (TFC II) dalam saingan akhir Piala Menteri Besar Terengganu di Kuala Terengganu, pada Rabu lalu.
Kelab itu dalam satu kenyataan berkata, luka berkenaan yang menjadi punca pendarahan namun keadaan tersebut sebenarnya masih dalam keadaan yang terkawal.
“Alhamdulilllah, sukacita dimaklumkan bahawa hasil pemeriksaan kesihatan yang telah pun dibuat di Island Hospital Pulau Pinang, menunjukkan bahawa Adib Raop tidak mengalami kecederaan patah tulang hidung.
“Buat masa ini, Adib Raop telah pun dinasihatkan oleh doktor untuk memakai topeng muka semasa menjalani latihan.
“Selain itu, dia masih memerlukan pemantauan rapi dengan beberapa bantuan ubat, bagi memastikan tiada lagi pendarahan semasa dalam proses penyembuhan luka tersebut,” kata kenyataan itu di Facebook Penang FC hari ini.
Sementara itu, Penang FC dijadual membuka tirai Liga Super 2022 menentang Melaka United FC pada 8 Mac ini di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. – MalaysiaGazette