Pekerja kedai emas menyusun barang kemas untuk dijual kepada pelanggan dengan harga yang rendah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kedai Emas Armel Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 11 FEBRUARI 2022.

SHAH ALAM – Tujuannya untuk memastikan semua lapisan masyarakat sama ada yang mampu atau kurang berkemampuan memiliki barang kemas berasaskan emas.

Justeru, syarikat Smart Bullion Sdn. Bhd. yang asalnya antara pembekal terbesar emas di negara ini, beralih cabang perniagaan kepada kedai emas, dengan menjual pelbagai jenis barang kemas pada harga mampu milik.

Menurut Pengarah Eksekutif Kedai Emas Armel, Zahardi Arman Zakaria, pihaknya memilih lokasi Jalan Plumbum P/7, Seksyen 7 dekat sini, sebagai cawangan pertama Kedai Emas Armel.

Dibuka pada 11 November tahun lalu, sehingga hari ini, kedai itu telah menjual kira-kira 30 kilogram emas sebulan kepada lebih 30 pelanggan yang mengunjunginya setiap hari.

Katanya, tema utama perniagaan syarikat itu ialah “Kedai Emas Termurah Abad Ini”, yang mana jualannya jauh lebih rendah atau murah berbanding kedai emas lain di seluruh negara.

Usahawan berusia 42 tahun ini dan berasal dari Bachok, Kelantan memulakan perniagaan emas sebagai pembekal utama untuk kedai emas di seluruh Malaysia.

Antara koleksi emas yang dijual ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kedai Emas Armel Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 11 FEBRUARI 2022.

“Syarikat ini ditubuhkan pada tanun 2018 atas nama Smart Bullion Sdn. Bhd. yang beroperasi di Shah Alam. Permulaan kita adalah pembekal emas untuk kedai-kedai emas di seluruh Malaysia.

“Namun, pada 11 November 2021, kita mula buka kedai emas sendiri iaitu Kedai Emas Armel dengan cawangan pertamanya di Seksyen 7, Shah Alam.

“Minat untuk membuka kedai emas ini kerana kita lihat permintaan orang ramai membeli emas begitu meningkat, terutamanya pada tahun 2020 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika ditemui di Kedai Emas Armel, dekat sini, semalam.

Menurut Zahardi Arman, sepanjang tempoh PKP, syarikatnya membuat jualan emas dan barang kemas secara atas talian dan tidak menduga sambutan orang ramai melonjak sehingga 10 kali ganda terhadap emas.

Dari situ, katanya, beliau berbincang dengan ahli-ahli syarikat untuk membuka kedai emas sendiri, selain mengekalkan momentum sebagai pembekal logam berharga itu kepada pelanggan tetapnya.

“Antara yang memberi sambutan atas jualan secara dalam talian ini adalah daripada kedai-kedai emas dan orang ramai. Apabila permintaan meningkat, kita beralih kepada menjual sendiri.

“Sebelum ini kita lebih kepada menjual secara borong kepada kedai emas di seluruh Malaysia. Kita jual atas nama syarikat Smart Bullion Sdn. Bhd.

“Bekalan emas ini kita dapatkan daripada kilang-kilang emas di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Antara emas yang juga bekal dan jual ialah jenis 999 dan 916,” katanya.

Pasangan pelanggan leka melihat barang kemas yang dipamerkan di Kedai Emas Armel Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 11 FEBRUARI 2022.

Ditanya apakah kelainan Kedai Emas Armel, Zahardi Arman menjelaskan, kelainan atau keistimewaan yang disediakan kedai itu ialah harga dan perkhidmatan.

Katanya, harga emas atau barang kemas yang ditawarkan adalah termurah di Malaysia atau harga emas yang termurah di kedai emas di seluruh negara.

“Contohnya, hari ini harga di kedai kita RM238 satu gram dan percuma upah. Kalau kedai biasa hari ini harganya lebih kurang RM260 hingga RM270 satu gram termasuk upah.

“Kita akan kekalkan status kita sebagai emas termurah di Malaysia untuk membantu rakyat Malaysia memiliki emas,” katanya.

Mengenai sasaran jualan syarikat, beliau berkata, pihaknya mempunyai target jualan 100 kilogram sebulan pada masa akan datang.

Setakat ini, syarikat itu membuat jualan kira-kira 30 kilogram sebulan.

Antara emas yang menjadi trend atau paling laris di kedai itu ialah rantai tangan sauh, rantai tangan coco, rantai tangan jagung dan rantai tangan coco lipan.

“Rantai leher yang mendapat sambutan sekarang ini ialah boba, manakala untuk kaum lelaki pula, di sini lebih kepada golba 999.

“Harga untuk golba di kedai emas ini sekarang RM255 satu gram, kalau di luar harganya RM300 satu gram,” katanya.

Pekerja kedai emas melakukan kerja-kerja mengilatkan emas terpakai untuk dijual kepada pelanggan dengan harga yang rendah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kedai Emas Armel Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 11 FEBRUARI 2022.

Mengenai saingan, Zahardi Arman berkata, di lokasi sekarang memang persaingannya agak sengit kerana di sekitar lokasi itu sahaja terdapat 12 kedai emas milikan Melayu Bumiputera.

“Walaupun masing-masing menyediakan tawaran istimewa untuk menarik pelanggan, kelebihan Kedai Emas Armel ialah harganya yang paling murah, manakala reka bentuk barang kemas sentiasa berubah-ubah mengikut kehendak pelanggan,” ujarnya.

Beliau juga memaklumkan perancangan jangka panjang syarikat untuk membuka beberapa cawangan Kedai Emas Armel lagi di Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

Menurutnya, perancangan atau cadangan itu ialah selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, dengan menjadikan kedai di Seksyen 7 sebagai ibu pejabat.

Menyedari ramai rakyat terutama golongan B40 tertipu dengan sindiket penjualan emas yang tidak wujud (scammer), beliau menyeru orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam pembelian emas.

“Sekarang ini banyak penipuan berlaku dalam pelaburan emas dan jual beli emas dalam talian yang sebenarnya tidak wujud.

“Kalau boleh belilah di kedai emas dan atas talian dengan memastikan kedai itu wujud, contohnya Kedai Emas Armel,” katanya.

Antara paling ramai mengunjungi Kedai Emas Armel itu ialah guru, kaum perempuan serta golongan B40 kerana selain emasnya tulen, harganya juga sangat mampu untuk dimiliki.

Memiliki 11 pekerja, Kedai Emas Armel beroperasi setiap Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad dari jam 10.30 pagi hingga 6.30 petang.

Untuk makluman lanjut mengenai kedai itu, orang ramai boleh melayari laman sosial Facebook, IG dan Telegram atas nama Kedai Emas Armel. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast