Penolong Setiausaha Persatuan Penghuni-Penghuni Jinjang Selatan Tambahan, K.Selvakumar (dua kanan) menunjukkan surat tawaran perumahan dari DBKL ketika mengadakan sidang media mengenai status terkini isu perumahan penduduk Tol Jinjang Selatan Tambahan di Jinjang Selatan Tambahan, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 13 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Lebih 200 penduduk di Jinjang Selatan Tambahan kini berstatus setinggan sejak 31 Januari lalu selepas gagal mengemukakan salinan permohonan pendudukan sementara (TOL) bagi memiliki tawaran rumah percuma Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Penolong Setiausaha Penghuni-Penghuni Jinjang Selatan Tambahan, K. Selvakumar berkata, DBKL kini telah menetapkan syarat baharu untuk pemilikan rumah berkenaan perlu memiliki salinan TOL, sekali gus penetapan itu menyusahkan penduduk berkenaan.

Ini kerana, kebanyakkan pemilik sudah menetap di kawasan itu selama 52 tahun mendakwa sukar untuk mengakses dokumen TOL yang telah hilang  sejak bertahun-tahun.

“DBKL perlu faham bila dah masuki generasi keempat, agak mustahil untuk setiap unit rumah mempunyai dokumen asal salinan TOL kerana salinan TOL akan diperbaharui setiap tahun dan telah lama diberhentikan pada tahun 1996.

“Jadi ada keluarga yang tercicir (dokumen) dan ada juga sudah meninggal dunia dan tidak dapat serahkan pada anak mereka, ada juga sudah serahkan balik kepada pejabat pos serta Pejabat Tanah dan Galian.

“Bila syarat ditetapkan seperti itu, penduduk keliru sebab pemaju kata jika penduduk tiada TOL tidak akan dapat tawaran sebaliknya mereka perlu beli rumah yang sepatutnya diperoleh secara percuma itu.

”Keadaan ini amat tidak adil kerana 30 rumah yang dirobohkan pada fasa pertama dan 107 rumah bagi fasa kedua tidak menghadapi masalah TOL untuk memiliki rumah pampasan,” katanya pada pemberita dalam sidang media hari ini.

Kawasan penempatan Jinjang Selatan Tambahan yang akan dipindahkan bagi tujuan pembangunan.
Foto AMIRUL SHAUFIQ 13 FEBRUARI 2022.

Jelas Selvakumar, kesemua mereka adalah sebahagian dari 388 pemilik TOL yang terbabit dalam fasa ketiga pembangunan semula kawasan berkenaan.

Isu ini timbul setelah penduduk menerima notis sekitar awal bulan lalu dari pemaju Uttara Land Sdn Bhd yang menyatakan penduduk yang gagal mengemukakan salinan TOL akan hilang kelayakan untuk tawaran rumah percuma DBKL.

“Jadi kita minta satu mensyuarat dan pertemuaan penduduk bersama Datuk Bandar, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim, Pengarah JPEP dan pemaju untuk bersama mencari penyelesaian terbaik.

“Sebab penduduk sudah bersetuju untuk pembangunan dan memberi peluang kebenaran walaupun kita boleh dikatakan pemunya tanah. Ini kerana kita diberi tanah sampai 52 tahun walaupun Datuk Bandar pemilik (tanah) sekarang.

“Kita sudah bersetuju beri laluan untuk pembangunan negara tetapi bila kita sudah bersetuju jangan aniaya penduduk. Apa yang dijanjikan kepada keluarga pertama rumah percuma, keluarga kedua, rumah mampu milik RM200,000 perlu adillah.

”Jangan bangkit syarat baharu perlu ada salinan TOL, ia akan merumitkan semua pihak. Kita ikut rekod bancian pertama dibuat DBKL, kedua kalau pemilik ada bawa dokumen lain seperti surat peguam serta sudah beli rumah ini lebih 40 tahun patut pertimbangkan,” ujarnya.

Pada 17 Januari lalu, Selvakumar memaklumkan persatuan telah menyerahkan surat mengenai isu pengesahan salianan TOL penduduk Jinjang Selatan pada Datuk Bandar pada Disember 2021 dan Januari 2022.

Sehubungan itu, pihak DBKL dan pemaju diminta bersemuka bagi merungkai permasalahan yang timbul dengan segera.

Terdahulu, kira-kira 137 pemilik rumah pada pembangunan semula fasa satu dan dua telah menerima tawaran rumah percuma, tanpa perlu mengambil kira status TOL atau tidak.

Kawasan Jinjang Selatan Tamabahan pada asalnya merupakan kawasan perlombongan bijih timah yang kemudian dijadikan penempatan sejak 52 tahun dahulu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast