Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

KUALA LUMPUR – Selepas berdiam diri apabila dilucutkan jawatan Ahli Jawatankuasa Pusat dan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, akhirnya Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali tampil bersuara.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, perkara itu diserahkan kepada kebijaksanaan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dan ahli Majlis Syura Ulama kerana melibatkan peruntukan yang ditetapkan dalam Perlembagaan Pas Fasal 8 (5) dan (7).

Namun beliau berharap ia dibincangkan dalam semangat kekeluargaan.

“Jika diberi kesempatan, saya sangat berharap segala perkara dibincangkan secara semangat kekeluargaan kerana ia adalah resipi yang sangat berkesan dalam memperkasakan parti dan jemaah.

“Sebagai ahli Pas, Insya Allah saya akan terus istiqamah dengan dasar perjuangannya Islam dan memberikan komitmen terbaik untuk merealisasikan tujuan dan usaha dakwah dan politik Pas sebagaimana termaktub dalam Perlembagan Pas,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Ketika ditanya adakah beliau dipanggil oleh mesyuarat sebelum digugurkan daripada jawatan tersebut, Mohd. Khairuddin berkata, Majlis Syura Ulama belum bersidang.

“Kali terakhir ialah muzakarah pada 31 Disember 2021,” jawabnya ringkas.

Ditanya lagi mengenai penguguran jawatan tersebut yang dilihat tidak sah jika mengikut perlembagaan  partinya, Mohd Khairuddin tidak menjawab  sebaliknya hanya memberikan emoji senyuman.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin juga akan memberi tumpuan dan perhatian kepada tugasnya sebagai ahli Parlimen Pas.

“Saya mengharapkan doa daripada semua sahabat seperjuangan dan seluruh umat Islam yang mencintai perjuangan Islam ini agar saya dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik,” katanya.

Peraturan Majlis Syura Ulama dalam Perlembagaan Pas kali terakhir dipinda pada tahun 2000 mempunyai sembilan perkara.

Fasal 8 (5) menyebut ahli-ahli Majlis Syura Ulama hendaklah memegang jawatannya selama lima tahun dan bagaimanapun ahli-ahli majlis ini boleh berhenti sebelum cukup tempoh lima tahun dan boleh diberhentikan oleh Majlis Syura Ulama yang mempunyai kuasa menentukan kelayakan seseorang ahli mengikut peruntukan Ceraian (3).

Fasal ini dan sebab-sebab seseorang ahli itu patut diberhentikan.

Dalam perenggan seterusnya iaitu Fasal 8 (7) menyebut, seorang Setiausaha Majlis Syura Ulama hendaklah dilantik oleh Mursyidul Am di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura Ulama dalam kalangan ahli-ahlinya dan hendaklah memegang jawatan itu selama lima tahun dengan syarat dia boleh berhenti sebelum cukup tempoh tersebut dan boleh diberhentikan dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura Ulama.

Ia juga boleh diperbaharui perlantikannya setelah tamat tempoh dia memegang jawatan itu.

Pada 11 Februari lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan Mohd Khairuddin digugurkan daripada jawatan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas berkuatkuasa 10 Februari 2022 kerana masalah disiplin.

Abdul Hadi berkata, pelantikan Mohd Khairuddin dalam Majlis Syura dibuat Jawatankuasa Pas Pusat, bermakna Pas Pusat membatalkan pelantikan itu.

Pada Januari lalu, Mohd Khairuddin juga telah digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat selepas dua bulan dilantik.

Bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu sebelum ini tersingkir ketika pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas bagi sesi 2021-2023 yang dijalankan ketika Muktamar Tahunan Pas Ke-67 pada 7 November tahun lalu. – MalaysiaGazette