KUALA LUMPUR –  Cadangan untuk melaksanakan penetapan kadar gaji minimum baharu pada nilai RM1,500 sebulan sebelum penghujung tahun ini adalah satu tindakan wajar.

Ini kerana tenaga kerja tidak boleh dijual beli kerana mereka merupakan penyumbang utama dalam sektor ekonomi negara.

Rata- rata orang ramai yang ditemui MalaysiaGazette hari ini berpandangan, cadangan itu satu kemajuan yang baik buat negara memandangkan kos sara hidup masa ini semakin meningkat.

Menurut bekas  pekerja kilang, Jamaludin Bidi, 61, dia menyokong cadangan itu kerana melihatnya satu pembaharuan terutama dalam membantu pekerja-pekerja kilang yang berpendapatan rendah.

“Sebelum ini, saya pernah suarakan isu ini masa di kerja di kilang pada tahun 2000 iaitu gaji minimum perlu sekurang-kurangnya RM1,500 kerana pada masa itu kami yang kerja kilang hanya berpendapatan RM450 sahaja.

“Jadi kita buat anggaran, gaji minimum ini memang wajib dan perlu diadakan.

“Saya amat menyokong kerana ini adalah perkara terbaik buat rakyat yang sedang menghadapi situasi Covid-19 dan ada gaji tidak menentu hingga terpaksa dipotong 20 peratus daripada pendapatan yang lalu.

“Jika ada kenaikan ini, semua boleh membuat anggaran jangka masa panjang untuk bajet mereka sendiri dan keluarga pada masa akan datang,” katanya.

Jamaludin Bidi, pesara.

Jamaludin menambah, sekiranya penetapan kadar gaji minimum baharu dilaksanakan, ia membuatkan rakyat tidak akan takut atau membuat pilihan lain daripada bekerja di negara sendiri.

Sementara itu, seorang pesara, Ahmad Busu Abdul Rashid, 60,  menyambut baik cadangan tersebut kerana melihat situasi kos sara hidup di bandar yang semakin tinggi.

“Saya setuju sebab sudah tiba masanya untuk meningkatkan gaji minimum itu. Dalam beberapa tahun ini, harga barang makin lama semakin naik. Lebih cepat naik daripada gaji kita, jadi untuk mereka yang duduk di bandar ini memang susahlah.

“Kalau kita tengok kos untuk buruh dalam perusahaan industri, kosnya tidaklah tinggi sangat sebenarnya. Ada cara lain untuk mereka kurangkan kos supaya mereka dapat menanggung pembayaran kenaikan gaji pekerja,” ujarnya.

Ahmad Busu Abdul Rashid, pesara.

Pandangan yang sama turut disuarakan Hanipah Shahar, 50, merupakan penjawat awam.

Menurutnya, walaupun kenaikan hanya RM300, ia amat membantu terutama mereka yang dikategorikan golongan berpendapatan B40.

“Pendapat saya wajar pelaksanaan kenaikan gaji minima RM1,500 dengan keadaan sekarang kes Covid-19 masih tinggi dan kebanyakan rakyat, pendapatannya terjejas untuk menampung perbelanjaan.

“Walaupun tidak banyak kenaikan hanya RM300 setiap bulan, sebenarnya ia amat membantu mereka lagi-lagi yang berpendapatan rendah. Selain itu, produktiviti kerja juga akan meningkat sekaligus menguntungkan kepada pengusaha itu sendiri,” katanya.

Hanipah Shahar, penjawat awam.

Terdahulu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan memaklumkan pekerja negara ini dijangka bakal menikmati penetapan kadar gaji minimum baharu pada nilai sekitar RM1,500 sebulan sebelum penghujung tahun ini.

Katanya, walaupun nilai sebenar kadar baharu itu belum dimuktamadkan, beliau positif perkara itu boleh direalisasikan selepas mendapat persetujuan jemaah Menteri.

Kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020 dengan kenaikan RM100 daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan ketika pembentangan Bajet Tahun 2020. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast