Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin (tengah) bersama Pengerusi Persatuan Pengeluar Produk Getah Malaysia Yeaw Kok Kwey (kiri) dan Pengerusi Getah Malaysia Daroyah Alwi (kanan) melancarkan gimik pada Program Konvensyen dan Expo Industri Getah Antarabangsa Malaysia di Hotel One World Petaling Jaya, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 14 FEBRUARI 2022

PETALING JAYA – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyasarkan eksport keseluruhan getah dan produk getah meningkat dua kali ganda kepada RM140 bilion tahun ini berbanding RM71 bilion pada tahun lalu.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, unjuran itu adalah berdasarkan permintaan berterusan global serta pengukuhan operasi industri getah dalam kalangan syarikat tempatan.

“Lonjakan sebanyak 44.3 peratus (RM71 bilion) dicatatkan dalam nilai eksport pada tahun lalu berbanding RM49.2 bilion pada 2020.

“Justeru, KPPK bersama peserta industri yakin langkah dan inisiatif berterusan mampu meningkatkan lagi nilai eksport getah pada tahun ini,” katanya menerusi sidang media selepas merasmikan Konvensyen dan Ekspo Antarabangsa Industri Getah Malaysia (IRICE) 2022 di Hotel One World hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Getah Malaysia, Dr. Daroyah Alwi; Presiden Persatuan Pengeluar Getah Malaysia (MRPMA), Yeaw Kok Kwey dan Pengerusi IRICE 2022, Loh Yoon Hon.

IRICE 2022 akan diadakan bermula 6 sehingga 8 September ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan berkaitan, Zuraida berkata, pihaknya sedang menjalin kerjasama dengan beberapa kementerian serta agensi berkaitan bagi menyelesaikan isu berkaitan getah terutamanya dakwaan penggunaan buruh paksa.

“Kita akan terus laksanakan pelbagai langkah dan memastikan semua pihak faham mengenai industri getah Malaysia adalah mengikut piawaian dan tidak seperti yang didakwa.

“KPPK akan sentiasa memainkan peranan penting dalam pembangunan industri getah kerana Malaysia merupakan antara negara utama dalam industri ini,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, KPPK akan menjadi orang tengah dalam menyelesaikan isu buruh paksa antara peserta industri yang diketengahkan oleh beberapa negara seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah. – MalaysiaGazette