Joseph Kalang Tie. Foto Facebook Kuching City.

KUALA LUMPUr – Pemain berpengalaman Kuching City FC, Joseph Kalang Tie bersedia diletakkan di mana-mana posisi terutamanya dalam membantu dua penyerang import baharu bagi saingan Liga Premier musim ini.

Joseph menyifatkan kehadiran dua penyerang iaitu Abu Kamara dan Keanu Marqhael Marsh-Brown ibarat sinar baharu kepada skuad kendalian Irfan Bakti bagi memperkuatkan barisan hadapan pasukan untuk musim ini.

Justeru, sekiranya dia tidak diletakkan selaku penyerang utama, pemain kelahiran Sarawak ini bersedia untuk membantu di bahagian sayap atau tengah bagi membuka ruang kepada dua penyerang tersebut mencari peluang menjaringkan gol.

Pada musim lalu, Joseph yang pernah beraksi bersama Selangor dan Pahang sebelum ini telah berjaya meledak empat jaringan bersama Kuching City untuk pasukan itu menamatkan saingan di tangga kelapan Liga Premier.

“Saya tidak kisah untuk bermain di mana-mana posisi sekalipun, terpulang kepada jurulatih kerana itu adalah strategi beliau dan beliau lebih tahu apa kelebihan dan kekurangan dalam diri pemain.

“Tahun lepas saya lebih banyak menjadi penyerang sokongan dan juga berada di bahagian sayap kanan iaitu posisi lama saya sebelum ini, jadi tahun ini tak tahu lagi macam mana.

“Saya sokong sahaja apa yang akan ditetapkan oleh jurulatih berdasarkan taktikal yang akan dilakukan beliau dan kita akan tengok apa yang terbaik untuk pasukan ini nanti,” jelasnya.

Memasuki musim ketiga bersama Kuching City, Joseph tidak menolak pasukan ini semakin matang dalam memberikan saingan sengit kepada lawan sejak mereka layak ke pentas Liga Premier bermula tahun 2020.

Justeru, dia percaya dengan percaturan yang lebih berbeza pada musim ini mampu meletakkan mereka di kedudukan yang lebih baik sekali gus ingin layak ke Liga Super buat julung kalinya pada musim depan.

“Memang ini sasaran kita sebenarnya sejak tahun lepas lagi, tetapi disebabkan banyak kekangan daripada segi persiapan dan sebagainya, kita masih di sini (Liga Premier) dan saya lihat persediaan musim ini lebih lancar.

“Tahun ini juga kita lebih banyak beri peluang kepada pemain muda dan dengan kombinasi bersama beberapa pemain lain yang berpengalaman, saya rasa tiada masalah untuk kami sasarkan ke Liga Super.

“Yang penting adalah kita fokus satu demi satu perlawanan terlebih dahulu dan kalau ada rezeki, tidak mustahil kita boleh berikan yang terbaik untuk pasukan ini mara ke tahap lebih tinggi”, jelasnya.

Pada musim ini, Kuching City telah mengikat tiga pemain import baharu iaitu Kamara dari Liberia, Marsh-Brown dari England dan Yuki Tanigawa dari Jepun yang juga pernah beraksi bersama pasukan ini pada musim 2020.

Hanya seorang pemain import dikekalkan iaitu pemain pertahanan, Aylton Ferreira Ananias dari Brazil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast