KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) tidak tergugat dengan tindakan pembangkang yang sudah mengumumkan senarai calon-calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN masih mengekalkan momentum dan mengikut perancangan yang telah ditetapkan sebelum ini.
“Kita sudah menjangkakan serangan demi serangan daripada pihak lawan terhadap kita.
“Namun, pada hemat saya, mereka yang menyerang ini merasakan bahawa menerusi beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) dan PRN yang telah lalu, mereka tidak menjangkakan bahawa keputusan itu tidak berpihak kepada mereka,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian selepas berlangsungnya Perasmian Majlis Taklimat dan Penyerahan Negeri Angkat Jentera BN Pusat Operasi Zon Selatan di Bandar Dato’ Onn Johor Bahru, semalam.
Video tersebut turut dimuat naik ke akaun TikToknya bagi menjawab persoalan serangan demi serangan yang dilemparkan pembangkang kepada BN khususnya UMNO.
Ahmad Zahid berkata, dengan cara mengumumkan lebih awal nama calon, pembangkang dapat menebus kekurangan dan dokongan di Johor.
“Namun saya yakin, pengundi dan rakyat Johor semakin bijak berdasarkan pengalaman apabila berada di dalam kerajaan-kerajaan terdahulu,” katanya.
Pakatan Harapan menerusi parti DAP telah mula menamakan calonnya yang akan bertanding.
Terkini, PKR hari ini mengumumkan calon-calon mereka yang akan bertanding di sekurang-kurangnya 17 kerusi daripada 20 kerusi yang disebut-sebut sebelum ini.
Tiga lagi kerusi yang menjadi taruhan PKR sebelum ini dikatakan akan diserah kepada parti MUDA.
PRN Johor akan diadakan pada 12 Mac depan selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada 22 Januari lalu.
Penamaan calon akan diadakan pada 26 Februari ini dan hari mengundi awal adalah pada 8 Mac depan. -MalaysiaGazette