Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad bercakap ketika meraikan kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di BN Command Center, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 12 MAC 2022.

JOHOR BAHARU – Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad wajar diiktiraf sebagai arkitek kebangkitan semula Johor, UMNO serta Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

Menurut Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, tidak ada sesiapa pun yang boleh menafikan peranan Pengerusi UMNO Johor itu dalam mencorakkan kebangkitan semula UMNO dan BN.

Menurutnya, bukan calang-calang orang mampu memimpin BN dan UMNO negeri yang terdiri daripada ramai tokoh hebat dalam suasana politik yang mencabar.

Shahril Sufian Hamdan

“Kami yang berkempen semasa Pilihan Raya Negeri menyaksikan secara dekat ketokohan dan keupayaan beliau sebagai seorang pemimpin di mata parti mahu pun rakyat.

“Beliau terbukti berjaya mengemudi dan meletakkan Johor pada landasan yang baik walaupun mengharungi pelbagai rintang dalam usaha memacu proses pemulihan pasca Covid-19 sekali gus kembali membangunkan Johor di bawah pentadbiran BN.

“Jika satu pintu tertutup, pada saat sama pintu lain dibuka”, tegas Shahril.

Hasni dalam kempen PRN Johor diumumkan sebagai calon Menteri Besar Johor sekiranya BN berjaya mendapatkan semula mandat daripada rakyat.

Bagaimanapun selepas tiga hari PRN Johor berlalu, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang memenangi kerusi DUN Layang-Layang dipilih mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-19.

Menurut Shahril, respon Hasni yang cukup santun dan terhormat terhadap pelantikan itu menunjukkan beliau seorang pemimpin hebat kerana meletakkan kepentingan negeri dan parti mengatasi peribadi.

“Datuk Hasni Mohammad kekal konsisten dengan gayanya yang tenang menerima ketetapan di luar jangkaan beliau dan kepimpinan UMNO.

“Mendukung Kedaulatan Raja dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor sudah menjadi sebahagian DNA UMNO apatah lagi di Johor Darul Takzim.

“Seperti dalam ucapan beliau sejurus selepas kemenangan BN diumumkan ‘tiada ideologi politik, tiada parti politik yang lebih penting dari Johor Darul Takzim’,” katanya.

Tindakan Hasni itu disifatkan oleh Shahril sebagai
seseorang yang menjiwai semangat kata-kata yang telah diluahkan olehnya sendiri.

Shahril berharap, ketokohan dan kepemimpinan Hasni terus dimanfaatkan dalam pentas politik negeri dan negara.

Sementara itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Onn Hafiz atas pelantikan sebagai Menteri Besar Johor yang baharu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor Ke-19 di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, Johor Bahru. Foto iHSAN ROYAL PRESS OFFICE, 15 MAC 2022.

“Sebagai pemimpin muda, tentunya harapan tinggi diletakkan atas bahu beliau untuk meneruskan kegemilangan negeri Johor.

“Mengenali beliau sebelum ini, saya yakin Datuk Onn Hafiz akan dapat menggalas amanah ini dan membuktikan bahawa beliau juga mampu menghadapi cabaran yang mendatang dengan gaya tersendiri ke arah matlamat sama iaitu mengotakan Ikhtiar BN Johor demi kestabilan masa depan.

“Terima kasih Bangsa Johor memilih BN. Terima kasih menerima kami datang dari seluruh negeri dan negara untuk berkempen,” kata Shahril.

Tambahnya kini Onn Hafiz mengalas tugas untuk terus melakar kisah tersohor bagi negeri Johor.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.