Khalid Abd. Samad

KUALA LUMPUR – Ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November lalu, Barisan Nasional (BN) hanya mendapat 38 peratus undi popular, namun memperolehi majoriti dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu.

Keadaan ini mungkin dianggap pelik, namun itulah hakikatnya.

Ia berlaku kerana undi yang menolak BN telah berpecah antara Pakatan Harapan (PH), yang mendapat 37 peratus dan Perikatan Nasional (PN) mendapat 25 peratus undi popular.

Namun, menurut Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Abd. Samad, memecahkan ‘undi menolak BN’ adalah peranan yang dimainkan oleh PN dan inilah apa yang dikatakan menjadi harapan para strategis BN.

“Dan inilah apa yang telah berlaku, apabila ‘undi menolak BN’ berpecah maka BN akan menang walaupun tidak popular di kalangan majoriti pengundi.

“Di Melaka 62 peratus pengundi menolak BN, namun hasil strategi pecah dan perintah ini, BN muncul sebagai pemenang dengan penuh bergaya. BN menang dengan mencapai dua pertiga majoriti di DUN Melaka,” katanya di sini, hari ini.

Beliau menyatakan, sebenarnya strategi sama telah diusahakan BN ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018.

Pada masa itu, katanya, Pas digunakan sebagai alat pecah dan perintah dengan dipujuk dan dipikat oleh BN untuk meninggalkan Pakatan Rakyat (PR).

“Harapan BN adalah dengan itu PR akan kalah di pantai barat kerana PR akan kehilangan undi Pas. Sambil itu, Pas akan kalah di Pantai Timur kerana kehilangan undi PR.

“Strategi ini gagal apabila pembentukan PH bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah berjaya dilakukan.

“Akibatnya, di pantai barat, undi BN sendiri telah berjaya dikurangkan apabila sebahagian pengundi BN mengundi PH dan undi PH melebihi undi BN walaupun PH telah kehilangan undi Pas,” katanya.

Khalid memberi contoh di Shah Alam, undi BN telah berkurangan daripada 38,000 semasa PRU13 kepada hanya 22,000 pada PRU14.

Walaupun PH telah kehilangan 15,000 undi Pas, namun PH mendapat undi tambahan sebanyak 16,000 iaitu daripada pengundi yang telah mengundi BN pada PRU13.

Di Pantai Timur pula, kata Ahli Parlimen Shah Alam itu, strategi berkenaan telah gagal juga kerana pengundi PH mampu membaca strategi BN.

“Kebanyakan daripada mereka telah memutuskan untuk tidak mengundi PH pada PRU14 kerana kalau itu dilakukan, BN akan menang.

“Secara sedar, mereka mengundi Pas kerana pada ketika itu Pas tetap dianggap lebih baik dan kurang mudaratnya berbanding BN.

“Oleh itu ‘undi tolak BN’ berjaya disatukan di Pantai Timur menghasilkan kemenangan Pas,” ujar beliau.

Namun demikian, malangnya, setelah menang, Pas lupa daratan dan sanggup terus diperalatkan BN sehingga digelar sebagai sekadar ‘bohsia’ dan ‘pelacur’ oleh pimpinan BN.

Kata Khalid, dalam suasana dan realiti sebegini, PN sebenarnya memegang kunci kepada kekalahan BN di Johor.

“Setelah puas digunakan oleh BN, Pas dan PPBM sekarang hendak dibuang oleh BN. Ini jelas berlaku di Melaka, di mana selepas PRN, dua ADUN PPBM diabaikan BN dan mereka duduk bersama pembangkang yang diketuai Adly Zahari.

“Namun, sekiranya PN tidak lagi sanggup diperalatkan sebagai pemecah ‘undi menolak BN’, maka BN akan dapat dikalahkan di Johor dan PN kena akui, peranan mereka di Melaka akan berulang di Johor,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. tak payah pusing sana sini. sudahnya terbelit sendiri.. yang jelas rakyat dah terpedaya dengan manifesto bukan kitab suci. harey..

Comments are closed.