Sabun berasaskan sawit dibangunkan dengan bahan-bahan asli dari sumber semula jadi, selamat dan mesra alam.

KUALA LUMPUR – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menggalakkan usahawan yang  menggunakan minyak sawit sebagai bahan utama dalam formulasi sabun mandian untuk menjalankan ujian pra-pemasaran mereka di kemudahan sedia ada yang terletak di ibu pejabatnya di Bandar Baru Bangi.

Ketua Pengarah Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, Pusat Inkubasi Oleokimia  ini menawarkan beberapa siri kemudahan untuk ujian pra-pemasaran bagi pengeluaran pelbagai jenis sabun berasaskan sawit.

Perkhidmatan tersebut menawarkan pakej lengkap yang terdiri dari formula, kemudahan ujian kualiti dan pasukan kakitangan dan pegawai yang cekap bagi membantu pihak yang berminat untuk mengendalikan kemudahan dan merumuskan ramuan sawit ke dalam produk yang dikehendaki.

MPOB telah melabur kira-kira RM400,000 untuk loji rintis sabun pertamanya yang
kemudiannya dinaik taraf dengan loji rintis sabun Mazzoni serba baharu.

Loji rintis tersebut mempunyai kapasiti 10 kilogram bagi setiap kumpulan dan setiap pelanggan biasanya menggunakan kemudahan untuk percubaan pengeluaran 1,000 buku sabun.

”Terdapat juga beberapa syarikat dari luar negara, terutamanya dari Timur Tengah yang mendapatkan khidmat perundingan analitikal seperti Yemen Co. for Ghee and Soap Industry dari Taizz di Yaman,” katanya.

Sabun berasaskan sawit dibangunkan dengan bahan-bahan asli dari sumber semula jadi, selamat dan mesra alam, yang sesuai dengan permintaan pengguna masa kini.

Penambahan bahan aktif memberikan fungsi unik dan ‘niche’ kepada sabun yang mana ia merupakan strategi dalam pemasaran produk.

Penyelidik-penyelidik cekap MPOB memudahkan syarikat-syarikat berkenaan untuk merumuskan pelbagai jenis sabun dengan bahan tambahan daripada ekstrak dan serbuk herba yang unik.

Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi (ToT) tahunan MPOB telah menjadi platform bagi MPOB dan rakan usaha samanya untuk mengumumkan teknologi terkini yang tersedia untuk dikomersialkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast