Nik Khanisah Husien

KUANTAN – Pengalaman 30 tahun menjadi penyampai radio walaupun kini  sudah berstatus nenek namun Nik Khanisah Husien, 52, masih setia bekerja di konti.

Beliau tidak pernah menyangka dapat berkhidmat sebagai penyampai radio sejak hari pertamanya pada 15 November 1992 di Jabatan Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Pahang sehingga hari ini.

Walaupun kini mempunyai dua cucu, rezekinya mendapat lantikan tetap sebagai penerbit rancangan mejadikan tugasan deejay menjadi medan baginya menggali ilmu dan meneruskan minatnya dalam dunia penyiaran.

“Tidak sangka dan tidak pernah bercita-cita menjadi deejay namun bila sudah jadi penerbit rancangan, kena belajar minat untuk datang kepuasan bekerja.

“Semua kerja ada cabaran kena pertingkat ilmu, tambahan pula sebagai penyampai kena sentiasa bermaklumat, bila kita bertugas kena ada ilmu supaya tidak bercakap kosong,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Jelas Nik Khanisah, selain menjadi ejen berpengetahuan, khidmat beliau selama berkecimpung dalam dunia penerbitan radio  memberinya banyak memori sekali gus pengalaman berharga.

Meskipun berbeza melalui daripada segi teknologi dahulu sehingga penggunaan digital sepenuhnya sekarang namun beliau akur dan cuba mengadaptasinya sesuai dengan peredaran zaman.

“Awal kerja dulu peralatan manual namun bermula tahun 2005 ke atas, beralih ke era digital, dulu orang kenal deejay ikut suara sahaja, kalau jumpa di luar tak kenal.

“Sekarang orang boleh tengok kita berkonti secara langsung, dulu kena bawa cakera padat (CD) berkeping-keping, sekarang hanya di hujung jari pilih lagu.

“Radio masih relevan sebab masih ada pengikut sahabat PahangFM yang berdaftar seramai 50,000 orang menjadikan kita seronok berkomunikasi dengan pendengar yang terus bagi sokongan,” katanya.

Tambahnya, stesen radio penting menyampaikan maklumat kepada pendengar serta masih berfungsi menyebarkan perkembangan semasa serta dasar kerajaan kepada masyarakat.

Isteri kepada Suhaimi Abu Bakar, 56, itu  mempunyai empat cahaya mata dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Tengku Mahmud, Besut, Terengganu mengamalkan petua tidak minum ais supaya menjaga pernafasan dan penjagaan suara.

Beliau pernah dikurniakan pingat istana  dengan Pingat Kelakuan Terpuji pada tahun 2010 serta Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak tiga kali.

Selain berpengalaman mengendalikan program istana, Nik Khanisah juga mahir membuat liputan siaran dan menerbitkan rancangan radio seperti Moh Berpantun, Biar Hati Bicara dan terbaharu, Jenguk Rodong Usahawan Pertanian.

Menurutnya, sambutan Hari Radio Sedunia pada 13 Februari lalu bertemakan ‘Radio dan Keyakinan’ dilihat relevan dengan kedudukan radio pada masa kini yang berdepan pelbagai cabaran teknologi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast