Kesemua dadah terbabit dalam bentuk lapan ketulan ganja mampat boleh digunakan 1,500 penagih dengan hasil keuntungan RM53,000.

MELAKA – Seorang wanita dan kekasihnya warga Pakisan bersama seorang warga India antara empat tokan dadah ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Banda Hilir pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam serbuan Op Tapis kira-kira jam 10 malam itu, polis turut merampas dadah jenis ganja dan wang tunai keseluruhan bernilai RM40,000.

Kesemua suspek berusia antara 23 hingga 28 tahun.

“Hasil risikan, polis berjaya memberkas kesemua empat suspek iaitu seorang wanita tempatan, dua lelaki warga Pakistan dengan salah seorangnya adalah kekasih kepada wanita terbabit dan seorang lelaki warga India.

“Pemeriksaan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Melaka Tengah itu turut menjumpai ganja seberat 1,064 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Christopher, kesemua dadah terbabit dalam bentuk lapan ketulan ganja mampat boleh digunakan 1,500 penagih dengan hasil keuntungan RM53,000.

“Turut dirampas adalah wang tunai berjumlah RM2,390
dan siasatan juga dapati kesemua suspek warganegara asing yang masih bujang sudah tinggal di Malaysia selama dua hingga lima tahun lalu.

“Kesemua suspek bagaimanapun tidak mempunyai rekod lampau selain ujian saringan awal polis mendapati kesemua mereka negatif dadah,” katanya.

Christopher berkata, kesemua suspek kini direman sehingga 18 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- MalaysiaGazette