Negara kita telah mengalami tiga pertukaran kerajaan sejak Mei 2018, bermula daripada pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri di bawah Pakatan Harapan, diikuti oleh pemerintahan dua Perdana Menteri lain, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada Mac 2020 dan Ogos 2021.
Berdasarkan kepada perkembangan politik mutakhir yang berlaku dalam negara kita sejak tiga tahun kebelakangan ini saya berpendapat bahawa kita tidak akan kembali kepada situasi di mana gabungan Barisan Nasional yang mempunyai kuasa hampir mutlak dalam mengurus kerajaan selama lebih daripada 60 tahun.
Kita akan melihat bahawa sepanjang masa di masa akan datang di negara kita ini akan ada dua ataupun tiga kumpulan penting dalam arena politik yang menguasai negara dan mungkin akan berlaku saling pertukaran kerajaan setiap penggal, itu perlu kita jangkakan dan itu sebenarnya satu norma baru yang kita perlu hadapi.
Kalau perkara itu berlaku, saya harap ia tidak akan menjadikan ahli politik di Malaysia amnya dan kerajaan khasnya berpandangan jangka pendek dengan hanya memikirkan apa yang mereka patut buat dalam tempoh mereka mentadbir sahaja kerana mereka masih perlu berfikir untuk jangka pertengahan dan jangka panjang.
Dalam konteks inilah saya melihat Ismail Sabri sejak mengambil-alih jawatan Perdana Menteri sejak Ogos 2021 telah memposisikan diri beliau selaku seorang pemimpin yang berani dan berpandangan jauh walaupun berdepan dengan ancaman ketidakstabilan politik melalui beberapa inisiatif yang telah beliau umumkan.
Kalau dilihat dari segi apa yang telah dilakukan sejak dilantik sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri telah melancarkan beberapa program besar yang menonjolkan imej beliau sebagai sebagai seorang pemimpin yang berfikiran jauh, melihat bukan hanya untuk jangka pendek tetapi juga untuk jangka pertengahan dan jangka panjang.
Setelah dilantik menjadi Perdana Menteri, beliau terus memberi ucapan sulung pada 22 Ogos, kemudian pada 27 Ogos sudah membentuk Kabinet dan pada 13 September menandatangani memorandum persefahaman dengan Pakatan Harapan yang merupakan satu pembaharuan yang besar dalam sistem Parlimen di Malaysia.
Pada 11 Ogos beliau membuka ekonomi dan membenarkan aktiviti merentas negeri, pada 30 Ogos mengumumkan kad laporan pencapaian, pada 12 Oktober membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 yang merupakan rancangan Malaysia terbesar dengan peruntukan RM450 bilion untuk jangka pertengahan dan jangka panjang.
Pada 23 Oktober beliau melancarkan Konsep Keluarga Malaysia, yang merupakan satu lagi pembaharuan besar dalam pendekatan bernegara, pada 29 Oktober pula kita ada Belanjawan 2022 dengan peruntukan terbesar RM332.1 bilion dan kemudiannya pada 7 November melancarkan sambutan Bulan Keluarga Malaysia.
Pada 6 Disember, beliau melancarkan satu program khusus yang dipanggil program Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) menerusi tujuh aktiviti pertumbuhan ekonomi utama, iaitu Pertanian dan Komoditi, Ekonomi Digital, Halal dan Makanan, Kewangan Islam 2.0, Pengangkutan dan Mobiliti Lestari, Pembuatan serta Pelancongan..
Semua ini menonjolkan imej Ismail Sabri yang mungkin tidak banyak cakap tetapi melakukan banyak kerja. Kalau kita lihat dari segi personalitinya maknanya Ismail Sabri sudah menonjolkan diri dengan melancarkan program-program itu, dan kemudian melihat keluar ke Indonesia, ke Singapura, yang memberikan beliau imej yang sangat positif.
TPB2030 khususnya adalah amat menonjol kerana ia menyebabkan kerajaan Ismail Sabri ini dilihat sebagai kerajaan yang paling berani sejak kebelakangan ini kerana sebelum ini orang sudah tidak berani menyebut istilah Bumiputera, di mana bila kita dijemput bentangkan projek, sering diminta supaya jangan ditekankan sangat istilah Bumiputera.
Sebab itulah dalam keadaan di mana golongan Bumiputera dilihat sudah tidak begitu penting lagi dalam perancangan ekonomi negara sejak sekian lama tiba-tiba di zaman Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri golongan Bumiputera diketengahkan dan ditonjolkan semula seolah-olah ia merupakan matlamat asas kepada kerajaan baru ini.
Dan apabila inisiatif dibuat untuk meningkatkan kedudukan golongan Bumiputera tadi, ada ditentukan sasaran utamanya termasuk penyampaian perkhidmatan, modal insan, pemilikan kekayaan, keusahawanan, ekonomi korporat, Tanah Rizab Melayu, wakaf dan adat itu ditonjolkan, maknanya seolah-olah inilah strategi ekonomi baru kerajaan.
Begitu juga semasa pembentangan Belanjawan 2022 golongan Bumiputera ditonjolkan, sehinggakan golongan Bukan Bumiputera mengatakan bahawa mereka dianaktirikan sedangkan hakikatnya tidak begitu, cuma ia perlu ditangani melalui komunikasi yang lebih telus bagi meleraikan syak wasangka di kalangan golongan Bukan Bumiputera.
Sebenarnya, kalau kita semua percaya dengan betul-betul matlamat keterangkuman yang ingin ditonjolkan di dalam Konsep Keluarga Malaysia hari ini, kita boleh lihat agenda Bumiputera itu termasuk dalam agenda keterangkuman (inclusiveness), malah untuk lebih merangkum ekuiti golongan Bumiputera sepatutnya lebih selaras dengan komposisi mereka.
Saya juga sangat gembira bila Ismail Sabri berani membuat balik projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura. Saya rasa kerajaan yang sebelumnya terlampau emosional untuk membatalkan projek itu kerana ia sebenarnya satu projek jangka panjang yang sangat penting untuk negara, malah ia patut disambung ke Bangkok.
Syukurlah, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan halangan, Ismail Sabri masih berani membuat banyak perkara betul yang melihat ke depan untuk jangka pertengahan dan jangka panjang di mana ini benar-benar diperlukan dari seorang Perdana Menteri yang negaranya sedang berdepan dengan krisis kesihatan, krisis ekonomi dan krisis politik. – MalaysiaGazette
Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai adalah pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Kuala Lumpur.