Penolong Naib Canselor Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti UTeM, Prof Madya Mohd Rahimi Yusoff (hadapan kiri) sewaktu menaiki tangga salah sebuah Dewan Kuliah sambal memberikan penerangan berkenaan Kompleks Dewan Kuliah UTeM yang berkeluasan 4,452.0 meter persegi ini kepada Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar di kampus induk UTeM, Durian Tunggal Melaka, baru-baru ini.

MELAKA – Kompleks Dewan Kuliah baharu Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang dirasmikan baru-baru ini  memberi manfaat kepada hampir 14,000 pelajar.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim berkata, kompleks dewan kuliah itu dibina seiring peningkatan enrolmen pelajar pada setiap sesi kemasukan.

Jelasnya, perancangan pembangunan dan fasiliti UTeM yang strategik dan holistik
ini bagi memastikan kemudahan yang disediakan dapat memberi keselesaan dan
melengkapi, sekali gus menyokong proses pengajaran dan pembelajaran yang serba
kondusif.

Projek ini mendapat kelulusan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 dengan kelulusan kos siling berjumlah RM 15 juta dan dibina oleh Koperasi Peserta-Peserta Rancangan FELCRA Sebarang Perak Berhad.

Sementara itu, Penolong Naib Canselor Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti
UTeM, Prof Madya Mohd Rahimi Yusoff berkata, Kompleks Dewan Kuliah ini
berkeluasan 4,452.0 meter persegi dilengkapi dengan dua unit dewan kuliah jenis bertingkat dan dua unit dewan kuliah jenis rata, yang mana setiap satunya berkapasiti 300 orang.

Di samping itu terdapat empat unit dewan kuliah jenis rata berkapasiti 15 orang dan dua unit bilik bacaan serta insfrastruktur sokongan.

Ia turut dilengkapi dengan ruang pejabat pentadbiran yang menempatkan Bahagian
Pengurusan Akademik (BPA) yang mampu menempatkan seramai 19 orang staf yang telah pun memulakan operasi pentadbirannya di Kompleks Dewan Kuliah ini pada hujung
Januari lepas, katanya. – MalaysiaGazette