KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menetapkan Jumaat ini untuk melancarkan jentera pilihan raya parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Perkara itu dinyatakan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin yang turut berkata, semua pimpinan utama parti gabungan iaitu Pas, Bersatu dan Gerakan akan hadir pada majlis berkenaan yang diadakan di Kota Tinggi.
Jelas beliau, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; dan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai antara yang dijangka hadir.
“Majlis pelancaran ini akan memperhebatkan lagi momentum gerak kerja pilihan raya semua parti dalam PN yang sebenarnya sudah dimulakan.
“Walaupun belum sah lagi di kawasan mana kita akan bertanding, penyusunan dan gerak kerja seluruh jentera Pas sudah dimulakan,” katanya yang dipetik Harakahdaily, hari ini.
Abdullah berkata, Jabatan Pilihan Raya Pas Johor juga melakukan pemantauan terhadap jentera itu setiap hari termasuk turun ke kawasan untuk mendengar taklimat dan memastikan gerak kerja berjalan lancar.
Buat kali pertama di PRN Johor, katanya, hanya akan ada pusat operasi PN dan tiada lagi pusat operasi mengikut parti seperti dalam PRN Melaka sebelum ini.
“Perkara ini sudah diputuskan di peringkat pusat. Kita bersetuju kerana pusat operasi secara berasingan dari segi gerak kerja kurang berkesan, berbanding jika kita bergabung.
“Atas dasar semangat setiakawan PN, sesiapa pun yang bertanding di sesuatu kawasan, kita sejak awal sudah sedia bekerja memastikan calon PN berjaya,” katanya.
Mengulas pengagihan kerusi dan kawasan ditandingi dalam PRN Johor, beliau yang juga Naib Pengerusi PN negeri berkata, perkara itu belum 100 peratus selesai.
“Perundingan berjalan dengan baik dan ini membabitkan pimpinan peringkat pusat, cuma belum dimuktamadkan kerana masa masih panjang,” katanya. – MalaysiaGazette