KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) akan tampil dengan wajah baru apabila Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meluluskan logo baharu parti itu.
Masih dengan lambang tanjak berwarna merah berlatarkan kuning, cuma pembaharuannya perkataan PUTRA tertera di bawah logo berkenaan.
Menurut Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali, perubahan logo baharu itu dicapai dalam Perhimpunan Agung Putra kali ke-2 pada 23 Januari lalu dengan permohonan pindaan terus dibuat kepada RoS.
“Alhamdulilah, syukur RoS dan SPR sudah meluluskan secara rasmi logo baru parti Putra yang dibuat pindaan semasa mesyuarat agung bulan lalu.
“Surat makluman dan kelulusan itu sudah pun diterima oleh Setiausaha Agung Putra, dan dengan logo baharu ini pengundi akan lebih jelas di kertas undi apabila tertulis PUTRA,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, petang ini.
Katanya, bendera baharu Putra kini boleh digunakan secara rasmi sama ada pada Pilihan Raya Umum (PRU 15) atau Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menjelaskan logo yang berwarna latar hitam putih, Dr. Ibrahim berkata, ia akan dicetak di atas kertas undi dengan turut tertulis perkataan PUTRA di bawah tanjak.
“Sebelum ini, disebabkan Putra merupakan parti baharu, pengundi menyangkanya logo bebas, sedangkan ia adalah parti yang berdaftar secara sah seperti parti lain.
“Ianya sama juga, tapi dimasukkan nama PUTRA di bawah tanjak. Begitu juga bendera rasmi parti ini ada tertera nama PUTRA,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman parti itu menyertai PRN pertama di Melaka November lalu, menyebabkan pengundi belum biasa dan keliru dengan gambar tanjak.
Ditanya, adakah Putra akan bertanding pada PRN Johor 12 Mac ini, beliau berkata, Ahli Dewan Tertinggi (ADT) parti itu akan bermesyuarat Sabtu ini di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baharu.
“Setakat ini, keputusan muktamad belum buat, tetapi saya akan mengadakan perjumpaan malam esok dan ADT Putra akan bermesyuarat pada 19 Februari ini.
“Perjumpaan dan mesyuarat ini untuk memuktamadkan penyertaan Putra di PRN Johor. Saya akan maklumkan kepada media jam 5 petang Sabtu ini,” katanya. – MalaysiaGazette